Thursday, July 16, 2009

Bermulanya bicara Qalam

"Bacalah! Dengan nama Tuhan yang telah mencipta. Menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah! dan Tuhan engkau itu adalah Maha Mulia. Dia yang mengajarkan dengan qalam. Mengajar manusia apa-apa yang dia tidak tahu."
(Al-'Alaq: 1-5)

''Bacalah!'' itulah perkara yang mula-mula disuruh sewaktu turunnya wahyu pertama kepada Nabi yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis). Sampaikan Nabi didesak-desak oleh Jibril sehinggalah Nabi membacanya. Disebalik suruhan Allah yang pertama ini, tersirat rahsia yang amat besar padanya.

Persoalannya, mengapa membaca merupakan suruhan yang mula-mula sekali diperintahkan?

Hal ini kerana dengan membacalah lautan ilmu diselami. Hatta Nabi yang ummi pun disuruh membaca hinggalah Nabi dapat menghafalnya. Bagaimana pula pengislaman Umar Al-Khattab? Dengan membaca jualah sewaktu Umar membaca surah Taha. Dengan izin Allah, lubuk hati Umar begitu terharu dengan gaya bahasanya yang indah hinggalah sampai ayat (Taha:11) yang bermaksud, "Sesungguhnya Aku adalah Allah, tiada Tuhan selain Aku, sembahlah Aku". Lantas bergegaslah Umar menemui Nabi dan bersyahadah di hadapan baginda.

Disamping lidah untuk membaca, Allah mentakdirkan pula ilmu dapat dicatat. Tetapi dengan apa? Tentulah dengan qalam, iaitu pena! "Dialah yang mengajarkan dengan qalam." Ya, pena yang beku lagi kaku yang kita gunakan untuk menulis. Al-Quran sendiri pada mulanya hanya dikekalkan dalam bentuk hafalan dan catatan yang terserak-serak akhirnya dikumpulkan dan dijadikan 1 Mashaf untuk menjadi pegangan umat Islam sepanjang zaman. Bayangkanlah bagaimana agaknya jika Al-Quran masih dikekalkan dalam bentuk hafalan dan catatan-catatan yang terserak? Disesuaikan pada zaman ini, peranan pena tidak hanya kepada pen dan pensel, malah komputer, SMS dan apa jua bentuk penulisan turut mempunyai peranan yang sama.
"Nun; Demi pena dan apa yang mereka tulis."

(terjemahan Al-Qalam:1)

"Ilmu pengetahuan adalah laksana binatang buruan dan penulisan adalah tali pengikat buruan itu. Oleh itu, ikatlah buruanmu dengan tali tang teguh"

0 comments:

 
Minima Glass Blogger Template by Competitions World | Originally Minima Template by Douglas Bowman