Saturday, August 22, 2009

Pencemaran Ramadhan???

0 comments
Panas membahang duduk di bawah khemah. Tetapi alhamdulillah, keberkesanan khatib dalam menyampaikan khutbah seperti berpidato menarik minat saya untuk terus mendengar. Kebiasaannya saya akan tersengguk-sengguk apabila mendengar khutbah kerana penyampaian khatib yang kurang berkesan dan hanya sekadar membaca teks yang disediakan. Bertepatanlah semalam khatib membaca khutbah bertajukkan 'Ramadhan' sempena hari ini kita sedang menjalankan Rukun Islam yang ke-3.

Sedang tekun mendengar setiap butir khutbah yang dibaca khatib hinggalah dibacanya sepotong hadith bermaksud:
"...bulan yang awalnya adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan, dan akhirnya adalah pembebasan diri dari neraka"

Saya tersentak!

Sedikit terganggu fikiran saya. Tidak lagi saya dapat menumpukan perhatian pada pembacaan khutbah yang sedang berkumandang seberapa ketika. Mengapa masih ada lagi penggunaan hadith lemah dalam menggalakkan jemaah untuk berpuasa, apatah lagi hadith palsu. Adakah dilakukannya dengan disedarinya atau tidak? Wallahua'lam.

ALANGKAH MALANGNYA RAMADHAN...

Apabila bulan yang mulia ini dicemari dengan penyebaran hadith-hadith lemah dan palsu, tak kiralah tentang kelebihan bulan Ramadhan, keutamaan puasa atau kelebihan solat tarawikh. Malah lebih malang lagi apabila penyebaran hadith-hadith yang lemah dan palsu ini dilakukan oleh golongan-golongan dipercayai ilmunya oleh masyarakat melalui ceramah atau penulisan mereka.

Ada pun individu atau mana-mana pihak yang terlalu ghairah untuk menggalakkan orang lain agar beribadah. Dibawanya hadith-hadith yang masyhur dikalangan orang ramai dan hadith-hadith mengenai nasihat dan kata-kata yang menawan agar masyarakat beramal padanya tanpa memastikan terlebih dahulu taraf hadith-hadith yang ingin disampaikan. Begitu juga hadith-hadith mengenai kelebihan surah-surah Al-Quran, kisah para nabi serta sebab-sebab penurunan ayat. Hinggakan hanya sepotong ayat atau kalimah, terlalu banyak pula hadith-hadith kelebihan beramal padanya. Sedangkan banyak hadith yang tidah sahih mengenainya, kecuali sedikit sahaja.

Apa yang menghairankan ialah, apakah hadith-hadith yang maqbul (sahih dan hasan) sudah habis dan diamalkan hinggakan dibawanya hadith-hadith lemah? Walaupun beramal dengan hadith-hadith lemah di dalam perkara fadhilat dibolehkan oleh sesetengah ulama, namun ia masih tertakluk kepada beberapa syarat yang perlu diambil kira.

Bahkan menurut Imam Bukhari, Imam Muslim, Yahya bin Ma'in dan Imam Ibn Hazm, adalah tidak boleh beramal dengan hadith lemah apatah lagi palsu dalam hukum hakam dan fadhail amal (kelebihan beramal). Malah Imam An-Nawawi dalam Muqaddimah Syarah Sahih Muslim, menyifatkan pendapat membolehkan beramal dengan hadith lemah dalam hukum hakam adalah tidak benar, malah sangat keji. Begitu juga dengan ulama pada masa kini, Syeikh Muhammad Nasir Al-Din Al-Albani dan Syeikh Ahmad Muhammad Syakir.

Malah ada juga mengharuskan riwayatkan hadith palsu selama mana ia menggalakkan kebaikan dan menegah keburukan. Mereka mereka-reka hadith mengenai kelebihan surah-surah Al-Quran dan sesetangah amalan baik bagi tujuan tersebut. Apabila dibacakan kepada mereka hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

Barangsiapa yang sengaja melakukan pendustaan ke atasku, maka siapkanlah tempat duduknya di dalam api neraka.

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tanpa segan silu mereka menjawab, "Kami tidak membuat dusta ke atas Nabi, sesungguhnya kami berdusta kerananya (Nabi). Kata-kata mereka itu umpama bahawa agama Nabi itu ada kekurangannya, lalu merekalah yang menyempurnakannya. Sedangkan Allah telah berfirman:

Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu.

(terjemahan Al-Ma'idah:3)

ANTARA HADITH-HADITH LEMAH DAN PALSU YANG TERSEBAR DALAM BULAN RAMADHAN

Hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas: Berpuasalah kamu, nescaya kamu beroleh kesihatan.

Hadith ini adalah potongan hadith yang telah diriwayatkan oleh Ibn ‘Adi di dalam kitabnya al-Kamil fi Dhu‘afa’ melalui silsilah Nahsyal bin Sa‘id daripada al-Dhahak daripada Ibn ‘Abbas. Nahsyal adalah seorang yang “Matruk”(perawi yang dituduh berdusta), dan al-Dhahak tidak pernah mendengar hadith ini daripada Ibn ‘Abbas.

Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut di dalam kitabnya Taqrib al-Tahzib bahawa: “Nahsyal bin Said adalah ‘matruk’, dan Ishaq bin Rahuyah telah menyatakan bahawa dia adalah pendusta”. Al-Hafiz al-‘Iraqi pula di dalam kitabnya Takhrij Ahadith fi Ihya’ Ulum al-Din “Hadith ini telah diriwayatkan oleh al-Tabrani di dalam kitabnya al-Awsat dan oleh Ibn al-Qayyim di dalam kitabnya al-Tibb al-Nabawi daripada Abu Hurairah dengan sanad (pengkajian terhadap silsilah rawi) yang lemah.
....................................................................................................................................

Daripada Abu Mas‘ud al-Ghifari berkata: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda bermaksud:

Jika hamba-hamba Allah mengetahui apa yang ada pada bulan Ramadhan, tentulah mereka mengharapkan supaya bulan Ramadhan sepanjang tahun. Seorang lelaki dari Khuza‘ah berkata: Ceritakanlah kepada kami mengenainya. Lalu Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya syurga itu dihiaskan kerana bulan Ramadhan mulai dari awal tahun, sehingga apabila datang hari pertama bulan Ramadhan, angin bertiup dari bawah ‘Arasy lalu daun-daun syurga berdesiran. Melihat keadaan ini, lantas berkatalah para bidadari: Ya Tuhan kami, jadikanlah untuk kami di bulan ini suami-suami yang akan menyejukkan mata kami dengan mereka dan akan menyejukkan mata mereka dengan kami. Rasulullah saw bersabda lagi: Tiada seorang hamba pun yang berpuasa Ramadhan melainkan dikahwinkan dengan seorang isteri dari bidadari yang berada di dalam sebuah khemah dari mutiara besar yang berongga yang disifatkan oleh Allah sebagai: “Bidadari-bidadari yang jelita, putih bersih, dipingit dalam khemah”. Setiap seorang wanita dari bidadari itu mempunyai tujuh puluh perhiasan yang tiada berbeza warnanya antara satu sama lain, dan diberikan kepadanya tujuh puluh jenis harum-haruman yang baunya tidak berbeza antara satu sama lain. Setiap seorang wanita itu mempunyai sebuah katil yang dibuat daripada yakut merah yang bertatahkan mutiara. Di atas setiap katil terdapat tujuh puluh permaidani yang sebelah dalamnya daripada sutera halus. Di atas tujuh puluh permaidani itu terdapat tujuh puluh katil berhias. Setiap seorang wanita itu mempunyai tujuh puluh ribu pelayan yang terdiri dari kanak-kanak lelaki dan tujuh puluh ribu kanak-kanak perempuan yang akan menguruskan keperluannya. Tiap-tiap seorang kanak-kanak itu mempunyai sebuah dulang dari emas yang padanya ada jenis makanan yang suapan akhirnya mempunyai kelazatan yang tidak terdapat pada suapan yang pertama. Kepada suaminya diberikan sedemikian juga di atas katil dari yakut merah. Ini hanyalah ganjaran bagi tiap-tiap hari puasanya dari bulan Ramadhan selain dari kebajikan-kebajikan lain yang dikerjakannya.

(Diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dan Ibn al-Jauzi di dalam kitabnya al-Maudhu‘at: daripada sumber Jarir bin Ayub al-Bajli, daripada al-Sya’bi, daripada Nafi’ bin Burdah, daripada Abu Mas ‘ud al-Ghifari.)

Hadith ini adalah palsu. Ia telah direka oleh Jarir bin Ayub. Al-Imam Ibn Hajar di dalam Lisan al-Mizan menyebut tentang Jarir bin Ayub: “Terkenal dengan lemah”. Kemudian beliau memetik kata-kata Abu Nai’m tentang Jarir: “Adalah dia (Jarir) seorang yang memalsukan hadith”. Ibn al-Jauzi juga telah menghukum beliau sebagai seorang yang memalsukan hadith.

....................................................................................................................................

Daripada Salman al-Farisi ra, bahawasanya Nabi saw berkhutbah kepada kami pada akhir bulan Sya’ban dan Baginda saw bersabda:

Wahai sekalian manusia, telah memayungi kamu 1 bulan yang agung, bulan yang padanya ada 1 malam yang lebih baik dari seribu bulan. Allah telah menjadikan puasa di bulan ini wajib, berqiyam pada malamnya sunat. Maka barangsiapa yang berbuatkebajikan padanya dengan 1 kebajikan, adalah serupa dengan orang menunaikan fardhu pada selainnya. Dan barangsiapa yang menunaikan perkara fardhu pada bulan ini, menyamai seperti menunaikan 70 fardhu di bulan-bulan lain. Ia adalah bulan sabar dan ganjarannya adalah syurga. Ia adalah bulan tolong-menolong, bulan yang ditambah padanya rezeki kepada orang yang beriman. Barangsiapa yang memberi makan pada bulan ini kepada orang yang berpuasa untuk berbuka puasa, maka amalan ini adalah pengampunan bagi dosa-dosanya, dan memerdekakannya daripada neraka, dan baginya pahala orang yang berpuasa itu tanpa dikurang pahala mereka sedikitpun. Mereka lalu bertanya: Ya Rasulullah! Bukan semua kami yang mampu menjamu orang yang berbuka puasa?. Lalu Rasulullah saw bersabda: “Allah akan memberi ganjaran ini kepada orang yang menjamu mereka yang berbuka puasa walau dengan seteguk susu, atau dengan sebiji tamar atau dengan secangkir air. Dan barangsiapa yang mengenyangkan seorang yang berpuasa, maka Allah memberikanya minum dari al-Haudh, iaitu minuman yang ia tidak akan dahaga sampailah ia masuk syurga. Ia adalah bulan yang awalnya adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan, dan akhirnya adalah pembebasan diri dari neraka. Maka perbanyakkanlah pada bulan ini dengan 4 perkara kebajikan. 2 perkara kamu akan mendapat keredhaan dari Tuhan kamu dan 2 perkara lagi kamu tidak dapat tidak mesti melakukannya. Adapun 2 perkara yang kamu akan mendapat keredhaan Tuhan kamu ialah syahadah “La ilaha illallah” dan kamu beristighfar padanya. Dan 2 perkara lagi yang kamu tidak dapat tidak mesti melakukannya ialah memohon syurga dan kamu meminta supaya dijauhkan daripada neraka”.

(Hadith ini diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah melalui perawi Ali bin Zaid bin Jad‘an daripada Said bin al-Musaiyib daripada Salman.)

Hadith ini adalah lemah, kerana lemahnya Ali bin Zaid. Al-Hafiz Ibn Hajar di dalam kitabnya Tahzib al-Tahzib (7/322-323) mengemukakan hukuman beberapa orang ulama terhadap Ali bin Zaid ini, antaranya:

Berkata Ibnu Sa’ad, “Di dalamnya ada kelemahan dan jangan berhujah dengannya,” berkata Imam Ahmad bin Hanbal, “Tidak kuat,” berkata Ibnu Ma’in, “Dhaif” berkata Ibnu Abi Khaitsamah, “Lemah di segala penjuru,” dan berkata Ibnu Khuzaimah, “Jangan berhujah dengan hadith ini, karena jelek hafalannya.” Dan Ibnu Khuzaimah berkata setelah meriwayatkan hadith ini, “Jika benar kabarnya.” Berkata Ibnu Hajar di dalam Al Athraf, “Sumbernya pada Ali bin Zaid bin Jad’an, dan dia lemah,” sebagaimana hal ini dinukilkan oleh Imam As Suyuthi di dalam Jam’ul Jawami’.

Ibn Abi Hatim pula di dalam kitabnya ‘Ilal al-Hadith telah menukil pendapat ayahnya yang menyatakan bahawa hadith ini adalah “Hadith Munkar”. Pendapat ini juga disokong oleh Syiekh Muhamad Nasirudin al-Albani yang turut menyatakan bahawa hadith ini adalah Munkar.

.........................................................................................................................................

Selain itu, terdapat juga hadith-hadith lemah dan palsu lain yang menyentuh tentang fadhilat sembahyang tarawikh secara khusus. Antara yang termasyhur ialah hadith yang diriwayatkan oleh Ali k.w tentang kelebihan tertentu pada setiap malam solat tarawikh. Hadith popular pada bulan Ramadhan ini yang menyebut tentang fadhilat setiap malam solat tarawikh ini adalah palsu. Hadith ini direka oleh puak Syi’ah untuk menonjolkan maqam ketinggian Ali k.w. Seperti mana yang didakwa oleh imam-imam Syi’ah bahawa beliau banyak menerima hadith-hadisth khusus yang tidak pernah diriwayatkan oleh sahabat-sahabat lain.

Sebagai contoh, pada malam ke-17, disebutkan bahawa ganjarannya ialah Allah s.w.t akan mengurniakan kepada orang yang sembahyang tarawikh pahala sekalian para Nabi. Cuba perhatikan apakah komentar Imam Ibn al-Qayyim dalam perkara ini. Beliau berkata:

Seolah-olah pendusta yang jahat ini (pembuat hadith palsu ini) tidak mengetahui jika seseorang yang selain daripada Nabi bersembahyang dengan umur Nabi Nuh saja, tidak akan ada seorang Nabi pun yang dapat menandinginya.

(Ibn al-Qayyim,cal-Manar al-Munif, hal.46)

Beliau telah menyenaraikan beberapa kriteria untuk mengenali hadith-hadith lemah tanpa melihat dan menyemak kepada sanadnya. Antara kriteria tersebut ialah:

Apabila sesuatu hadith itu menyebut tentang kelebihan dan ganjaran yang terlalu banyak apabila melakukan amalan yang kecil, dan dosa dan hukuman yang terlalu berat untuk kesalahan yang kecil yang mana ia tidak disebut oleh Rasulullah saw. Hal ini disebut sebagi al-Mujazafat.
(Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, hal.47)

KESIMPULANNYA

Demikianlah beberapa hadith yang saya bawakan sebagai contoh. Sebenarnya masih terdapat banyak lagi hadith-hadisth lemah dan palsu lain yang disebarkan kepada masyarakat. Tak dinafikan bahawa sebahagiannya mengandungi makna yang benar dan sesuai dengan syariat malah bertepatan pula dengan kajian yang dilakukan oleh manusia.

Contohnya tentang kelebihan berpuasa dari sudut kesihatan telah terbukti melalui kajian. Namun, sejauh mana kebenarannya sekalipun ia masih tetap tidak dibenarkan untuk disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. Bukan untuk menidakkan kebenaran fakta tersebut, tetapi adalah untuk mengelakkan pendustaan ke atas Rasulullah s.a.w. Jika dalam hal ini diizinkan, maka ia akan membuka ruang kepada golongan yang lain untuk akan turut mencipta hadith atau berhujah dengan hadith palsu yang berkaitan dengan urusan mereka lalu disandarkan kepada Rasulullah s.a.w.

Berkemungkinan juga hadith ini direka oleh ahli zuhud dan tasawuf yang menyeleweng bertujuan membangkitkan keghairahan masyarakat yang tidak mengetahui pelbagai kisah dan riwayat. Ia direka supaya masyarakat terpukau dan asyik mendengar ceritanya. Lalu masyarakat giat beribadat tanpa ilmu. Inilah penjelasan yang telah diberikan oleh Syeikh Mustafa al-Siba’ie di dalam kitabnya al-Sunnah.

Akhir bicara, renungilah pesanan al-Imam Abdullah ibn Mubarak:

Untuk mengetahui hadith sahih memerlukan kepada penelitian, sedangkan hadith lemah begitu mudah untuk didapati.

Read More...

Friday, August 21, 2009

Ramadhan, Selamat Datang!

0 comments
Hampirnya masuk waktu solat Isyak. Beberapa buah kereta masuk ke perkarangan asrama untuk mengundang kami ke surau. Kami dan beberapa senior terus dibawa ke sana. Dalam perjalanan, kami berbual kembali cerita di surau semalam. Memang tak basi dan memang tak kering gusi.

"Weh Basim, kau pergi tak tadarus malam ini?" tanya saya kepadanya pada petang itu selepas penat menghafal.

"Pergilah," jawabnya ringkas.

Pertanyaan saya 'bagaikan sudah tahu bertanya pula' padanya, mungkin. Ataupun kerana mengganggunya menghafal. Pada hal memang setiap malam Ramadhan kami akan bertadarus di Surau Kampung Hulu Sg. Udang. Jadi tak perlulah timbul persoalan seumpama itu.

Saja saya bertanya kerana kami akan menduduki peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) tak lama lagi. Banyak yang perlu kami hafal kerana ada 9 subjek dan semuanya dalam Bahasa Arab. Yang menjadi cabaran utama kami ialah buku pembelajaran kami tiada baris untuk memudahkan membacanya seperti mana buku yang kami gunakan daripada Jabatan Agama Islam Selangor semasa tingkatan 1 dahulu. Dan syarahnya pula panjang kerana buku yang kemudian kami gunakan adalah daripada silibus Universiti Al-Azhar.

Hampir lewat malam

Balik daripada tadarus, ada saja cerita yang kami bualkan. Dan yang pastinya, cerita itu mesti membuatkan perut kami senak akibat ketawa yang amatlah melampau. Ada juga yang sampai berair matanya (habislah hafalan-hafalan kami, lagi-lagi Al-Quran). Apa yang kami cerita? Biarlah kami saja yang menyimpan cerita-cerita itu.

Indahnya saat bersama bila diimbas kembali...

BULAN MULIA, BULAN PENUH KEBERKATAN



Alhamdulillah, tahun ini sekali lagi kita dizinkan untuk bertemu Ramadhan, bulan mulia dan penuh keberkatan ini. Sesungguhnya ibadah puasa telah dijanjikan pelbagai kelebihan bagi sesiapa yang menunaikannya. Cukuplah beberapa nas saya bawakan sebagai pembakar semangat untuk kita menghadapi Ramadhan ini:

Dari Malik, dari Abuz Zanad, dari A'raj, dari Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda: Puasa itu perisai, apabila ada seorang kamu pada suatu hari sedang berpuasa, maka janganlah berkata-kata keji, dan janganlah berlaku jahil. Dan jika ada seseorang memakinya atau mahu membunuhnya maka katakanlah, "Sesungguhnya aku sedang berpuasa", sebanyak 2 kali. Demi Dzat yang jiwaku ada di Tangan-Nya. Nescaya bau mulut orang yang berpuasa lebih baik di sisi Allah dari bau al-misk (minyak wangi). Orang yang berpuasa itu meninggalkan makan dan minumnya serta meninggalkan syahwat keinginannya kerana untuk-Ku. Amalan berpuasa adalah semata-mata untuk-Ku dan Aku sendirilah yang akan memberi ganjaran dan kebaikan dengan 10 (ganda) yang seumpama dengannya.

(HR Bukhari)

Apabila datangnya Ramadhan akan dibuka pintu-pintu syurga, dan ditutup pintu-pintu neraka, dan dibelenggu syaitan-syaitan.

(HR Bukhari dan Muslim)

Daripada Abu Umamah ra berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah saw: Ya Rasulullah! Tunjukkan kepadaku satu amalan yang membolehkan aku memasuki syurga dengannya. Maka Rasulullah saw bersabda: “Hendaklah kamu berpuasa, tiada lagi yang seumpamanya.

(HR al-Nasai, Ibn Hibban dan al-Hakim dan sanadnya adalah sahih).

Dari Khalid bin Makhlad, katanya: Kami diberitahu oleh Sulaiman bin Bilal, katanya: Aku diberitahu oleh Hazim, dari Sahal r.a, dari Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya di dalam syurga ada sebuah pintu yang dinamakan Ar-Rayan (orang yang sudah kenyang kerana minum), yang akan dimasuki oleh orang-orang yang berpuasa pada hari kiamat nanti. Tiada seorang pun yang dapat memasukinya selain mereka. Akan diucapkan, "Manakah orang-orang yang berpuasa itu?". Lalu mereka pun berdiri. Memang tidak ada seorang pun dapat memasuki syurga melalui pintu tersebut melainkan mereka sahaja. Apabila mereka telah masuk semuanya lalu ditutup pintu itu sehingga tiada seorang pun yang dapat memasuki syurga melaluinya.

(HR Bukhari)

Selain itu, dalam bulan ini jugalah telah diturunkan al-Quran dan disediakan suatu peluang sebagai anugerah istimewa kepada hamba-hambaNya yang terpilih dengan Lailatul Qadar. Firman Allah s.w.t:

Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan daripada petunjuk dan perbezaan (antara yang haq dan batil).

(terjemahan Al-Baqarah: 185)

Sesungguhnya kami turunkan ia (Al-Quran) pada malam Lailatul Qadar.

(terjemahan Al-Qadr: 1)


Jom kita banyakkan amal ibadah kita

11 bulan sudah jasmani kita bersantap

Berilah peluang kepada rohani kita pula untuk sebulan ini

Tak salahkan?

Read More...

Thursday, August 6, 2009

Oh! Nisfu Sya'ban

2 comments
"Esok ke malam Nisfu Sya'ban?", tanya saya.

"Haah, esoklah.", jawab teman saya pula.

Tiba-tiba saya kaget. Terus berlari mencari kalendar untuk mengesahkannya.

"Haahlah...", terjawab sudah persoalan saya.

Macam biasalah saban tahun, apabila datangnya malam Nisfu Sya'ban, sudah terbayang di kepala saya kemeriahan penduduk taman ke surau untuk menghidupkan malam tersebut. Selepas solat Maghrib, para jemaah membaca surah Yasin dan kemudian bersolat sunat.

Apa yang merisaukan saya, seringkali amalan-amalan khusus dicipta lalu diselitkan fadhilat beramal padanya yang entah dari mana nas-nasnya, kemudian disebarkan melalui SMS, YM, emel dan dalam apa jua bentuk kepada sesiapa sahaja. Maka mereka yang menerima hal seperti ini terus saja menerima tanpa mengkaji kesahihannya terlebih dahulu. Yang paling membimbangkan adalah apabila sampai ke suatu tahap, di mana terbentuknya 1 kelompok manusia yang beramal padanya dengan menyangkakan amalan tersebut disandarkan kepada Nabi s.a.w.

Yang sebenarnya, tiada hadith sahih mengenai amalan-amalan khusus malam Nisfu Sya'ban seperti sembahyang sunat yang khas, membaca surah tertentu seperti Yasin atau doa-doa tertentu. Ada pun, kebanyakannya hadith-hadith tersebut adalah lemah dan palsu Antaranya ialah:

Hadith Tentang Kelebihan Menghidupkan Malam Nisfu Sya'ban

Hadith yang diriwayatkan daripada Ali r.a: Apabila tiba malam Nisfu Sya'ban, maka bangunlah kamu (menghidupkannya dengan ibadah) pada waktu malam dan berpuasalah kamu pada siangnya kerana sesungguhnya Allah akan turun ke langit dunia pada hari ini bermulanya terbenamnya matahari dan berfirman: Adakah sesiapa yang memohon ampun daripada-Ku akan Ku ampunkannya. Adakah sesiapa yang memohon rezeki daripada-Ku akan Ku kurniakan rezeki kepadanya. Adakah sesiapa sakit yang meminta penyembuhan akan Ku sembuhkannya. Adakah ada sesiapa yang meminta daripada-Ku akan Ku berikan kepadanya, dan adakah begini, adakah begitu dan berlakulah hal ini sehingga terbit fajarnya.
(Hadith ini adalah palsu, driwayatkan oleh Ibn Majah dan Al-Baihaqi di dalam Syu'ab al-Iman. Rujuk Dhaifah al-Jami' dan Silsilah al-Dhaifah oleh Albani, Dhaif Ibn Majah)
Diriwayatkan daripada Ibn Umar r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Barang siapa yang membaca 1000 kali surah Al-Ikhlas, dalam 100 rakaat solat pada malam Nisfu Sya'ban, ia tidak keluar dari dunia (mati) sehinggalah Allah mengutuskan dalam tidurnya 100 malaikat, 30 daripada mereka mengkhabarkan syurga baginya, 30 lagi menyelamatkannya daripada neraka, 30 pulih yang lain mengawalnya daripada melakukan kesalahan dan 10 lagi akan mencegah orang yang memusuhinya
(Hadith ini menurut Al-Jauzi adalah palsu. Rujuk Ibn Al-Jauzi, al-Maudhu'at, Dar al-Fikr. Imam Daruqutni pula meriwayatkan hadith ini daripada Muhammad bin Abdun al-Samarkandi dan dia mengatakan bahawa Muhammad adalah seorang pendusta dan pembuat hadith. Imam al-Zahabi juga mengatakan Muhammad bin Abdun terkenal sebagai pembuat hadith)

Al-Hafiz Iraqi berkata: Hadith tentang solat pada malam Nisfu Sya'ban adalah lemah dan direka cipta, lalu disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. Hal ini juga disebut oleh Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu':
Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaib iaitu solat sebanyak 12 rakaat, dikerjakan antara Maghrib dan Isyak pada malam Jumaat pertama bulan Rejab dan solat sunat pada malam Nisfu Sya'ban sebanyak 100 rakaat adalah 2 jenis solat yang bid'ah (perkara yang diada-adakan dalam agama)
(Rujuk: Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al- Tahzir min al-Bida' cetakan ke-3)

Kelebihan Puasa Yang Khas Pada Hari Nisfu Sya'ban

Berhubung dengan amalan puasa yang khas pada Nisfu Sya'ban, tidak terdapat hadith sahih yang menjelaskan perkara ini, yang ada pun cuma hadith yang lemah. Berpuasa semata-mata pada Nisfu Sya'ban sahaja dengan menganggap ia adalah amalan yang Nabi s.a.w adalah dilarang. Jika seseorang itu berpuasa berdasarkan amalan Nabi s.a.w yang memperbanyakkan berpuasa pada bulan Sya'ban dan termasuk di dalamnya hari Nisfu Sya'ban, maka inilah amalan yang digalakkan. Begitu juga jika seseorang itu berpuasa sunat pada Hari Isnin dan Khamis lalu hari tersebut jatuh pada Nisfu Sya'ban.

Hadith Tentang Amalan Angkat Diangkat Pada Malam Nisfu Sya'ban

Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa segala amalan manusia akan diangkat pada malam Nisfu Sya'ban. Lalu kebanyakan umat Islam akan menghidupkan malam ini dengan bacaan surah-surah tertentu (seperti Yasin) dengan niat supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan ditetapkan iman. Pendapat ini adalah tidak tepat dan tiada hadith-hadith sahih menjelaskan.
....................................................................................................................................

Syiekh Dr. Yusuf al-Qardhawi menyatakan di dalam fatwanya tentang malam Nisfu Sya'ban:

Tidak terdapat hadith-hadith yang bermartabat sahih mengenainya, kecuali hadith yang bermartabat hasan (bersifat seperti hadith sahih tetapi perawinya tidak mempunyai ingatan yang kuat) di sisi sebahagian ulama, dan terdapat juga ulama yang menolaknya dan mengatakan bahawa tidak terdapat hadith sahih tentang malam Nisfu Sya'ban.

Sekiranya kita berpegang bahawa hadith tersebut berada di martabat hasan, maka apa yang disebut dalam hadith Rasulullah s.a.w ialah hanya disuruh BERDOA DAN BERISTIGHFAR pada malamnya, tidak disebut sebarang DOA YANG KHUSUS yang Rasulullah s.a.w anjurkan.

Terdapat juga di sesetengah negara di mana mereka berkumpul selepas solat Maghrib di masjid-masjid dan membaca surah Yasin . Selepas itu mereka solat 2 rakaat dengan niat agar dipanjangkan umur, kemudian 2 rakaat lagi agar mereka kaya (tidak bergantung lagi dengan manusia). Sesudahnya solat, mereka membaca doa seperti mana yang ada di dalam buku panduan doa yang dicetak dan diedarkan yang sebenarnya tidak ada pun daripada hadith-hadith sahih.

Contoh doa yang terdapat di dalam buku panduan doa (terdapat pelbagai versi terjemahannya, tetapi pada dasarnya adalah sama):
"Ya Allah! Andainya telah ditakdirkan disisi-Mu akan aku dalam kitab azali bahawa aku celaka dan diharamkan akan aku, terusir atau sedikit rezeki, maka hapuskanlah dengan kemurahan-Mu kecelakaanku, sedikit rezeki dan terusir itu. Dan tetapkanlah disisi-Mu dalam azali itu dengan kebahagiaan dan beroleh rezeki yang dipergunakan kepada kebaikan. Sesungguhnya Engkau telah berfirman dan firman-Mu adalah benar sebagaimana dalam Kitab-Mu yang Engkau turunkan atas lidah Nabi-Mu (Muhammad): Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki atau ditetapkannya dan disisi-Nya kitab azali."
Daripada doa ini, saya akan datangkan hujah-hujah untuk menunjukkan kepada anda bahawa doa ini telah dicipta oleh seseorang, bukannya daripada Rasulullah s.a.w:

1. Dalam doa ini, dapat kita lihat 2 pertentangan yang jelas pada awal doa, "Ya Allah! Andainya telah ditakdirkan...maka hapuskanlah..." dan akhir doa, "Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki atau ditetapkannya dan disisi-Nya kitab azali.

Perlu anda jelas bahawa pada akhir doa tersebut adalah firman Allah dalam surah Ar-Ra'ad, ayat ke 39.
"Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki atau ditetapkannya dan disisi-Nya kitab azali."
(terjemahan Ar-Ra'ad:39)
Ayat ini menjelaskan bahawa kitab azali tidak boleh dihapuskan dan ditetapkan. Jadi bagaimana seorang hamba yang hina boleh memohon agar dihapuskan dan ditetapkan di dalam kitab azali sedangkan ia tidak boleh dihapuskan dan ditetapkan?

2. Doa yang baik adalah bersumberkan nas-nas yang sahih (Al-Quran dan As-Sunnah) kerana lebih indah dan baik penyampaiannya, merangkumi dengan kata-kata yang sedikit. Tiada yang lebih baik dari doa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

Berdasarkan hujah yang saya datangkan, jelaslah bahawa doa Nisfu Sya'ban itu adalah ciptaan seseorang, bukannya daripada Rasulullah s.a.w kerana kelemahan-kelemahan doa itu sendiri. Jikalau doa tersebut bersumberkan daripada Rasulullah s.a.w, adalah mustahil kelemahan seperti itu dilakukan oleh Rasulullah s.a.w kerana ia menjatuhkan martabat baginda sebagai seorang rasul utusan Allah.

Kesimpulannya


Demikianlah beberapa perkara yang ingin saya bincangkan mengenai Nisfu Sya'ban ini. Semoga melalui beberapa hadith yang didatangkan berserta pendapat para ulama, jelaslah kepada anda tentang martabat hadith-hadith tersebut dikalangan ulama hadith.

Adalah lebih baik kita beribadat sebagaimana yang Rasulullah s.a.w lakukan, begitu juga dengan para sahabat dan mereka selepasnya. Cukuplah apa yang telah dicontohkan oleh Nabi s.a.w kerana sebaik-baik contoh adalah daripada baginda.
....................................................................................................................................

PEMBETULAN
Walaubagaimanapun, Al-Albani telah mensahihkan hadith ini dalam Silsilah Al-Ahadith Al-Sahihah (jilid 3, m.s 135, Riyadh: Maktabah Al-Ma'arf)
Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Sya'ban, maka Dia ampuni semua hamba-hamba-Nya kecuali musyrik (orang syirik) dan orang yang bermusuh (orang benci membenci.
(HR Ibn Hibban, Al-Bazzar dan lain-lain)
Berdasarkan hadith ini, cukuplah bagi kita mempertingkatkan amalan harian kita (qiamullail) pada malam tersebut seperti mana yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. Tidak perlulah dikhususkan bentuk-bentuk amalan tertentu seperti membaca surah Yasin serta doa-doa dan zikir-zikir tertentu.


Read More...

Hanya Bersangka Dalam Beramal?

1 comments
Tiba-tiba saya teringat akan cikgu yang saya amat kagumi iaitu Cikgu Marzuki b. Abdullah ketika di dalam tren. Lantas saya mengambil handphone dan mendail nombornya. Tet..tet..tet..tiba-tiba terdengar panggilan saya dijawab dan kedengaran suaranya.

"Assalamu'alaikum", salam diberi kepada saya.

Lantas saya menjawabnya,"Wa'alaikum salam cikgu, cikgu sihat?" tanya saya.

"Alhamdulillah, cikgu sihat. Oh, kamu rupanya", tanpa diperkenalkan diri saya sudah dapat diagak oleh beliau. Lalu kami terus berbual-bual bertukar fikiran.

Begitulah hubungan saya dengan beliau. Setiap minggu saya akan menelefonnya (jadi kenalah standby top up banyak-banyak, hehe). Walaupun sudah hampir 3 tahun meninggalkan sekolah di mana beliau mengajar dan di mana saya belajar di sekolah agama tersebut. Selama 5 tahun saya bersekolah di sana, pada tahun terakhir persekolahan saya barulah beliau mula mengajar di sekolah saya. Perkenalan kami begitu singkat, hanya 1 tahun sahaja. Tetapi dalam masa yang singkat itulah dibukakannya mata saya seluas-luasnya hingga dirasakan begitu bermakna perkenalan itu.

Sampai sekarang saya masih ingat lagi sepotong ayat Al-Quran dan Hadith yang beliau sampaikan pada saya dan sering diulang-ulang olehnya.
"Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu serta Aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kamu..."

(terjemahan Al-Maidah:3)

"Sesungguhnya aku telah tinggalkan kepada kamu 2 perkara, dan sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti keduanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya iaitu Al-Quran dan Sunnahku"

(HR Bukhari)
Walaupun 2 nas ini yang sering beliau ulang, tetapi begitu mendalam sekali kesannya pada saya. Alhamdulillah, telah dibukakan hati saya untuk mengkaji kembali kesahihan setiap amalan yang saya lakukan hatta solat sekalipun.

Ada 1 persoalan menarik minat saya untuk saya ajukan kepada anda pula. Apa agaknya reaksi anda apabila amalan yang anda amalkan sejak daripada lahir lagi sehinggalah sekarang kerana bagi menurut anda inilah amalan yang diamalkan oleh umat Islam sejak dari zaman Rasulullah s.a.w. Malah memang tiada salah tentang amalan tersebut pada pandangan anda kerana itulah yang anda sendiri sudah sedia maklum tahu daripada mak ayah, masyarakat sekeliling malah daripada ustaz dan ustazah sama ada di sekolah mahu pun masjid, sehinggalah...

Datang 1 kelompok manusia lalu mendakwa bahawa amalan tersebut adalah karut semata-mata. Apakah perasaan anda? Sukarkan untuk menerima hakikat tersebut? Apa pula tindakan anda? Menolak dakwaan tersebut dengan menyangka merekalah yang berada di pihak yang salah? Begitulah perasaan yang dirasakan oleh kaum terdahulu yang telah sesat sebagaimana firman Allah:
"...dan orang-orang yang mengambil perlindungan selain Allah berkata: Tidaklah kami menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah sedekat-dekatnya..."

(terjemahan Az-Zumar:3)

"Lalu pergilah pemimpin-pemimpin mereka lalu berkata: Pergilah kamu dan tetaplah menyembah tuhan-tuhanmu, sesungguhnya inilah yang benar-benar dikehendaki "

(terjemahan Sod:6)

Kedua-dua ayat tersebut menjelaskan bagaimana golongan tersebut menyangka bahawa mereka sedang melakukan sesuatu yang dikehendaki oleh Allah. Tetapi sangkaan mereka itu salah! Bagaimana pula dengan perbuatan anda? Adakah perbuatan anda itu MEMANG benar ataupun anda MENYANGKA perbuatan itu benar? Berhati-hatilah dengan SANGKAAN...
"Sesungguhnya mereka hanya mengikuti prasangka. Dan sesungguhnya prasangka tidak berguna untuk mencapai kebenaran."
(terjemahan Yunus:36)
Diadaptasikan daripada mRbLiNc'S


Read More...

Sunday, August 2, 2009

Kasihanilah Kami

6 comments
Saya cukup marah!

Cukup benci!

Maaflah kerana permulaan teruk sebegini.

Saya cukup sedih. Seolah-olah saya memahami perasaan mereka apabila mereka ditemu bual tentang kekecohan yang berlaku berdekatan dengan permis mereka. Mungkin disebabkan antara saya dan mereka adalah peniaga, jadi saya dapat memahami apa yang mereka rasakan. Ini semua gara-gara berita yang disiarkan di Buletin Utama TV3 malam tadi berkenaan demonstrasi jalanan untuk menyuarakan hasrat mereka agar dimansuhkan ISA. Sudahlah hampir setiap hari saya melalui area tersebut untuk ke kolej saya.

Terlupakah mereka bahawa Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya telah melalui pelbagai ujian dan fitnah yang lagi hebat. Tapi adakah kita yang membaca Sirah Nabawiyyah berulang-ulang kali ini atau mendengarnya daripada ceramah-ceramah mengetahui mereka menggunakan demonstrasi jalanan sebagai cara untuk meluahkan ketidakpuashatian mereka? Tentu TIDAK bukan? Sabda Rasulullah s.a.w:
"Barang siapa yang mengada-ngadakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia".

(HR Bukhari)
Tak terfikirkah mereka tindakan mereka itu menyusahkan orang lain? Tak simpatikah pada mereka yang seagama kita? Tak malukah mencalarkan imej Islam di kaca mata pada mereka yang bukan beragana Islam? Niat mereka ini memang baik, tapi adakah Islam berkonsepkan "Matlamat Tidak Menghalalkan Cara"? Sedangkan Allah telah berfirman:
"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk."

(terjemahan Surah Al-Nahl:125)
Sabda Rasulullah s.a.w pula:
"Sesiapa yang ingin menasihati orang yang berkuasa, janganlah melakukannya secara terang-terangan. Sebaliknya hendaklah dia memegang tangannya (pemerintah itu) dan bersendirian dengannya (menasihati tanpa membuka aibnya secara umum). Jika diterima maka dia berjaya, jika tidak dia dianggap telah menunaikan tanggungjawabya."

(HR Ibn Abi 'Asim)
Bukalah mata hati anda! Nabi s.a.w telah melaksanakan urusan dakwah dengan penuh hikmah dan memerintahkan para sahabat menggunakan hikmah dan kebijaksanaan dalam menyampaikan dakwah.

Jadi mengapa perlunya demonstrasi jalanan ini? Sudahlah menyalahi undang-undang, malah bercanggah dengan syarak pula! Kalau nak hantar memorandom kepada Yang di-Pertuan Agong pun atau menyuarakan ketidakpuashatian, kenapa perlu sampai berarak? Kenapa tidak menghantar wakil untuk ke Istana Negara atau ke 'pihak-pihak tertentu' dan menyampaikannya secara aman? Kenapa pula sampai peniaga macam kami terpaksa menutup kedai? Kenapa sampaikan orang awam ketakutan terperangkap di dalam bangunan untuk menyelamatkan diri? Adakah anda hendak kami memahami dan bersabar atas 'niat murni' anda itu seolah-olah anda memperjuangkan hak-hak kami?

Ya, memang betul apa yang anda tentang itu merupakan tentangan terhadap suatu bentuk kezaliman dan kesilapan mereka. Tetapi fahamilah, budaya ini pencetusnya adalah orang kafir. Kemudian budaya ini tersebar ke negeri-negeri kaum Muslimin melalui budaya barat yang disalurkan melalui media elektronik seperti filem-filem barat dan media cetak. Jadi, demonstrasi ini ada unsur-unsur tasyabbuh (penyerupaan) dengan budaya orang kafir, walhal Rasulullah s.a.w bersabda:
"Siapa saja yang menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk dalam golongan mereka."

(HR Abu Dawud)
Tanyalah diri anda siapakah 'mereka' yang kita menyerupai suatu kaum yang berdemonstrasi itu? Mahukah anda termasuk dalam golongan 'mereka'? Apa yang membingungkan lagi, sikap penentangan kepada pemerintahan yang dipimpin oleh pemimpin yang beragama Islam adalah bertentangan syarak dan menunjukkan ciri-ciri golongan khawarij (melampau dalam mengkafirkan sesiapa yang melakukan dosa, sedangkan tidak semua orang yang berdosa menjadi kafir). Sedangkan Nabi s.a.w bersabda:
"Daripada Ummu Salamah, Rasulullah s.a.w bersabda: Akan ada sepeninggalanku nanti pemimpin yang kalian mengenalinya dan mengingkari kejelekannya, maka barang siapa mengingkarinya bererti dia telah melepas diri, dan barang siapa yang membencinya bererti dia telah selamat, akan tetapi barang siapa yang meredhainya akan mengikutinya. Para sahabat bertanya: Apakah kita tidak perangi dengan pedang? Baginda menjawab: Jangan, selama mana mereka masih menegakkan solat di tengah-tengah kalian."

(HR Muslim)

Janganlah mengatakan mereka tidak solat pabila mereka bersendirian dan dengan itu dijadikan alasan untuk perangi mereka. Bukankah mereka ada solat bersama-sama kita seperti mana yang disiarkan di kaca tv?

Sebenarnya mereka yang terlibat dalam demontrasi tidak melibatkan pentingnya kesempurnaan akidah, akhlak dan ibadah yang perlu wujud dalam 'peserta-peserta' mereka walaupun mereka mengaku mewakili pertubuhan yang mewakili Islam. Malah mereka mengislamisasikan pula tindakan mereka yang berbudaya kafir ini dengan laungan zikir-zikir dan solat hajat berjemaah. Sedarlah! Kemungkaran bukannya diingkari dengan kemungkaran sebagaimana tuntutan Allah dalam firmanNya:
"Dan bila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi. Mereka menjawab: Sesungguhnya kami orang-orang yang melakukan perbaikan. Ingatlah, sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang membuat kerosakan, tetapi mereka tidak sedar."

(terjemahan Al-Baqarah:11-12)
*Berkemungkinan 'suara' saya ini kedengaran seperti datangnya daripada anjing mahupun barua kerajaan. Tapi silalah adili hujah-hujah saya dengan mata hati anda, lapangkanlah dada anda untuk menerimanya walaupun pahit bagi anda terima.

P.S: Sampaikanlah kepada pejuang-pejuang Islam kita. Bukan begitu caranya 'bertempur di medan perang'. Kembalilah pada Al-Quran dan As-Sunnah yang telah Allah sempurnakan agama kita
.


Read More...

Saturday, August 1, 2009

Nak Kenal Tak?

1 comments
Orang kata kalau tak kenal maka tak cinta. Tapi sebelum tak kenal mestilah kita tak tahu kan, tak tahu siapa dia. Maka terjadilah

'Tak Tahu Maka Tak Kenal'.
*Ntah apa-apalah

Haha!

Jadi kenalilah saya dahulu.

Bermulanya Kisah Harian Qalam

Ini bukan nak cerita pasal kasut buatan gombak yang dah season ok, tapi permulaan langkah saya yang akan menceritakan 'jadual hidup' saya.


Inilah van buruk saya! Hampir sebaya saya tau. Setiap pagi saya pergi niaga gunakan van ni la. Pernahlah diherdik kat pasar 2 minggu lepas, "Alihkan van kotor kamu ni!". Masa tu memang marah teramat sangatlah, tahulah kawan tu pakai Merc. Dengan muka yang tenang, start je engine terus gerak. Malas nak berbalas. Van ni pun Merc juga, MEZDA!!


Ayuh Si Buruk, kita gerak ke sana mencari rezeki untuk keluarga saya! Ramai lagi tanggungan umi dan ayah, jadi kamu tak boleh rosak. Vrooooomm....!!! Subuh-subuh lagi dah pergi tempat niaga. Makanya hari-hari kenalah bangun awal. *Eh, ko bila nak naik van? Tak nampak ayah dah nak gerak ni?* Habislah, ayah dah marah.


La La La Laaa… La, hari-hari kerja!
La La La Laaa… Bosan dengan kerja, haha!
La La La Laaa… La, hidup harus kerja.. kerja!


Tadaa! Cantik tak saya bungkus? Agak lajulah saya siapkan 1 bungkus nasi lemak ni *bukan bungkus tau, tapi "siapkan"*, tapi belum pernah catat lagi masanya, hehe. Daripada saya darjah 5 saya ikut meniaga nasi lemak, tapi pakai bekas polistrinlah masa tu. Masa form 1 baru pakai kertas. Kalau nak tahu berapa laju saya siapkan, gambarkan je lah eh kata-kata daripada mereka ni.

Budak kecil: Mak! Lajunya, macam kung fu. (Lepas tu dia gayakan tangan saya membungkus) *Haha! Ingat, budak kecil tak menipu tau.

Customer tetap saya: Efisien! *Ni lagi tak boleh blah, ringkas lagi padat. Haha!


Memang saya tak cukup tangan nak siapkan request customer. Bayangkanlah 3 tong nasi lemak habis dalam 2 jam lebih, haih. Peluh? Jangan cakaplah. Kalau nak mandi dah boleh terus menyabun. Tak payah basahkan badan lagi dah, haha! Mari kita temu ramah akak ni macam mana dengan prestasi kerja saya. "Oh! bagus dak ni, cepat, cekap dan amanah. Dah 5 tahun dia ni keje dengan akak. Akak ambil dia pun sebab dah lama dia kerja dengan suami akak masa umur dia 3 tahun lagi". *Bagusnya kau, ni umi pun kau dah tak kenal lagi eh? Haha!


Sampai juga akhirnya di stesen KTM Shah Alam. *Habislah, Dah lah saya dalam mode hitam pait lagi masin. *Yang mengata saya tu lagilah, hehe.


Sampai pun tren, hari-hari lambat. Itulah, bawa laju sangat sampai getah tayar pun haus. Lepas tu bawa lagi tren tu laju-laju dengan tayar besi sampai hangit bau. Akak, cheese! *Nah! dub mata kau.* Jadi, masa ni lah saya study. Kalau malas, saya rangkalah post-post untuk blog saya. Kalau tak nanti saya pening sebab fikiran saya 'berkata-kata' untuk merangka post yang berkualiti, insyaallah.


Haih...bila da sampai stesen Bank Negara nak kena menapak lak pergi stesen LRT. Dah lah tadi dalam mode hitam pait lagi masin, tambah lagi dengan menapak jauh-jauh ni?




Nampak tak jejantas tu. Saya prefer naik je lah jejantas tu kalau nak pergi kolej saya walaupun boleh melintas jalan ni. Bahaya ooo...tak pasal-pasal nanti senang je dapat 'salam' daripada pemandu lain terutama penunggang motor, macam brother hari tu dapat tanpa diminta.


Yeah! Sampai pun kolej, KLMU yang 'Terunggul' *Silalah ingat balik iklan-iklan yang dimainkan di corong radio dan di tv. Apesal ayat skema sangat ni.


Ada presentation lak. Dan ini dia presenter yang bersemangat dan petah berbicara, lagaknya laksana seorang lecture.


Barisan juri yang sedang mengadili presentation Miss Ain*Eh, tadi tu lecturer ke? Yang kat kerusi hitam tu macam kasut buatan gombak je.


Kelas ni lah saya paling rajin sekali. Rajin tengok jam, hehe.


Erk! Dah kenyang.*Sori, tak ada gambar tengah makan, semua melantak sakan sampai meja bersepah dengan nasi, jadi faham-fahamla eh.


Pas je solat Zuhur, de lagi kelas. Adoi, kelas 'Correct or Not?' la pulak. Masa ni perut dah kenyang, hati pun senanglah. Senang nak tido, hehe.*Padahal hati da boring, tak sabar da nak balik)


Jeng3! Part inilah paling best. Asal dapat naik tren ke Shah Alam je da terasa cam da balik sebab jadual perjalanan tren selalu je tunda. Sekali tunda nak kena tunggu 40 minit lagi la, haih. Jadi untuk mengurangkan tension, macam biasalah, MERANGKA POST!!!


"Aku, pen dan kertas" memang tak dapat dipisahkan sekarang. Kalau tak ada 2 benda ni kat saya, haih...memang peninglah kepala sebab fikiran saya akan berkata-kata sampai pada 1 tahap kepala saya akan sakit teramat sangat. Jadi, kenalah saya luahkan di atas kertas. Apa yang saya harapkan, dengan penulisan dan suara minoriti ini akan bergema lantang pada suatu hari nanti. Mengembalikan kefahaman dan pengamalan Islam kepada yang asalnya, insyaallah!

Ha, da kenalkan. Jadi jomlah bercinta pula.

?????????????????

Bercintalah dengan suara minoriti ini.

Read More...

 
Minima Glass Blogger Template by Competitions World | Originally Minima Template by Douglas Bowman