Saturday, August 22, 2009

Pencemaran Ramadhan???

Panas membahang duduk di bawah khemah. Tetapi alhamdulillah, keberkesanan khatib dalam menyampaikan khutbah seperti berpidato menarik minat saya untuk terus mendengar. Kebiasaannya saya akan tersengguk-sengguk apabila mendengar khutbah kerana penyampaian khatib yang kurang berkesan dan hanya sekadar membaca teks yang disediakan. Bertepatanlah semalam khatib membaca khutbah bertajukkan 'Ramadhan' sempena hari ini kita sedang menjalankan Rukun Islam yang ke-3.

Sedang tekun mendengar setiap butir khutbah yang dibaca khatib hinggalah dibacanya sepotong hadith bermaksud:
"...bulan yang awalnya adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan, dan akhirnya adalah pembebasan diri dari neraka"

Saya tersentak!

Sedikit terganggu fikiran saya. Tidak lagi saya dapat menumpukan perhatian pada pembacaan khutbah yang sedang berkumandang seberapa ketika. Mengapa masih ada lagi penggunaan hadith lemah dalam menggalakkan jemaah untuk berpuasa, apatah lagi hadith palsu. Adakah dilakukannya dengan disedarinya atau tidak? Wallahua'lam.

ALANGKAH MALANGNYA RAMADHAN...

Apabila bulan yang mulia ini dicemari dengan penyebaran hadith-hadith lemah dan palsu, tak kiralah tentang kelebihan bulan Ramadhan, keutamaan puasa atau kelebihan solat tarawikh. Malah lebih malang lagi apabila penyebaran hadith-hadith yang lemah dan palsu ini dilakukan oleh golongan-golongan dipercayai ilmunya oleh masyarakat melalui ceramah atau penulisan mereka.

Ada pun individu atau mana-mana pihak yang terlalu ghairah untuk menggalakkan orang lain agar beribadah. Dibawanya hadith-hadith yang masyhur dikalangan orang ramai dan hadith-hadith mengenai nasihat dan kata-kata yang menawan agar masyarakat beramal padanya tanpa memastikan terlebih dahulu taraf hadith-hadith yang ingin disampaikan. Begitu juga hadith-hadith mengenai kelebihan surah-surah Al-Quran, kisah para nabi serta sebab-sebab penurunan ayat. Hinggakan hanya sepotong ayat atau kalimah, terlalu banyak pula hadith-hadith kelebihan beramal padanya. Sedangkan banyak hadith yang tidah sahih mengenainya, kecuali sedikit sahaja.

Apa yang menghairankan ialah, apakah hadith-hadith yang maqbul (sahih dan hasan) sudah habis dan diamalkan hinggakan dibawanya hadith-hadith lemah? Walaupun beramal dengan hadith-hadith lemah di dalam perkara fadhilat dibolehkan oleh sesetengah ulama, namun ia masih tertakluk kepada beberapa syarat yang perlu diambil kira.

Bahkan menurut Imam Bukhari, Imam Muslim, Yahya bin Ma'in dan Imam Ibn Hazm, adalah tidak boleh beramal dengan hadith lemah apatah lagi palsu dalam hukum hakam dan fadhail amal (kelebihan beramal). Malah Imam An-Nawawi dalam Muqaddimah Syarah Sahih Muslim, menyifatkan pendapat membolehkan beramal dengan hadith lemah dalam hukum hakam adalah tidak benar, malah sangat keji. Begitu juga dengan ulama pada masa kini, Syeikh Muhammad Nasir Al-Din Al-Albani dan Syeikh Ahmad Muhammad Syakir.

Malah ada juga mengharuskan riwayatkan hadith palsu selama mana ia menggalakkan kebaikan dan menegah keburukan. Mereka mereka-reka hadith mengenai kelebihan surah-surah Al-Quran dan sesetangah amalan baik bagi tujuan tersebut. Apabila dibacakan kepada mereka hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

Barangsiapa yang sengaja melakukan pendustaan ke atasku, maka siapkanlah tempat duduknya di dalam api neraka.

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tanpa segan silu mereka menjawab, "Kami tidak membuat dusta ke atas Nabi, sesungguhnya kami berdusta kerananya (Nabi). Kata-kata mereka itu umpama bahawa agama Nabi itu ada kekurangannya, lalu merekalah yang menyempurnakannya. Sedangkan Allah telah berfirman:

Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu.

(terjemahan Al-Ma'idah:3)

ANTARA HADITH-HADITH LEMAH DAN PALSU YANG TERSEBAR DALAM BULAN RAMADHAN

Hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas: Berpuasalah kamu, nescaya kamu beroleh kesihatan.

Hadith ini adalah potongan hadith yang telah diriwayatkan oleh Ibn ‘Adi di dalam kitabnya al-Kamil fi Dhu‘afa’ melalui silsilah Nahsyal bin Sa‘id daripada al-Dhahak daripada Ibn ‘Abbas. Nahsyal adalah seorang yang “Matruk”(perawi yang dituduh berdusta), dan al-Dhahak tidak pernah mendengar hadith ini daripada Ibn ‘Abbas.

Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut di dalam kitabnya Taqrib al-Tahzib bahawa: “Nahsyal bin Said adalah ‘matruk’, dan Ishaq bin Rahuyah telah menyatakan bahawa dia adalah pendusta”. Al-Hafiz al-‘Iraqi pula di dalam kitabnya Takhrij Ahadith fi Ihya’ Ulum al-Din “Hadith ini telah diriwayatkan oleh al-Tabrani di dalam kitabnya al-Awsat dan oleh Ibn al-Qayyim di dalam kitabnya al-Tibb al-Nabawi daripada Abu Hurairah dengan sanad (pengkajian terhadap silsilah rawi) yang lemah.
....................................................................................................................................

Daripada Abu Mas‘ud al-Ghifari berkata: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda bermaksud:

Jika hamba-hamba Allah mengetahui apa yang ada pada bulan Ramadhan, tentulah mereka mengharapkan supaya bulan Ramadhan sepanjang tahun. Seorang lelaki dari Khuza‘ah berkata: Ceritakanlah kepada kami mengenainya. Lalu Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya syurga itu dihiaskan kerana bulan Ramadhan mulai dari awal tahun, sehingga apabila datang hari pertama bulan Ramadhan, angin bertiup dari bawah ‘Arasy lalu daun-daun syurga berdesiran. Melihat keadaan ini, lantas berkatalah para bidadari: Ya Tuhan kami, jadikanlah untuk kami di bulan ini suami-suami yang akan menyejukkan mata kami dengan mereka dan akan menyejukkan mata mereka dengan kami. Rasulullah saw bersabda lagi: Tiada seorang hamba pun yang berpuasa Ramadhan melainkan dikahwinkan dengan seorang isteri dari bidadari yang berada di dalam sebuah khemah dari mutiara besar yang berongga yang disifatkan oleh Allah sebagai: “Bidadari-bidadari yang jelita, putih bersih, dipingit dalam khemah”. Setiap seorang wanita dari bidadari itu mempunyai tujuh puluh perhiasan yang tiada berbeza warnanya antara satu sama lain, dan diberikan kepadanya tujuh puluh jenis harum-haruman yang baunya tidak berbeza antara satu sama lain. Setiap seorang wanita itu mempunyai sebuah katil yang dibuat daripada yakut merah yang bertatahkan mutiara. Di atas setiap katil terdapat tujuh puluh permaidani yang sebelah dalamnya daripada sutera halus. Di atas tujuh puluh permaidani itu terdapat tujuh puluh katil berhias. Setiap seorang wanita itu mempunyai tujuh puluh ribu pelayan yang terdiri dari kanak-kanak lelaki dan tujuh puluh ribu kanak-kanak perempuan yang akan menguruskan keperluannya. Tiap-tiap seorang kanak-kanak itu mempunyai sebuah dulang dari emas yang padanya ada jenis makanan yang suapan akhirnya mempunyai kelazatan yang tidak terdapat pada suapan yang pertama. Kepada suaminya diberikan sedemikian juga di atas katil dari yakut merah. Ini hanyalah ganjaran bagi tiap-tiap hari puasanya dari bulan Ramadhan selain dari kebajikan-kebajikan lain yang dikerjakannya.

(Diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dan Ibn al-Jauzi di dalam kitabnya al-Maudhu‘at: daripada sumber Jarir bin Ayub al-Bajli, daripada al-Sya’bi, daripada Nafi’ bin Burdah, daripada Abu Mas ‘ud al-Ghifari.)

Hadith ini adalah palsu. Ia telah direka oleh Jarir bin Ayub. Al-Imam Ibn Hajar di dalam Lisan al-Mizan menyebut tentang Jarir bin Ayub: “Terkenal dengan lemah”. Kemudian beliau memetik kata-kata Abu Nai’m tentang Jarir: “Adalah dia (Jarir) seorang yang memalsukan hadith”. Ibn al-Jauzi juga telah menghukum beliau sebagai seorang yang memalsukan hadith.

....................................................................................................................................

Daripada Salman al-Farisi ra, bahawasanya Nabi saw berkhutbah kepada kami pada akhir bulan Sya’ban dan Baginda saw bersabda:

Wahai sekalian manusia, telah memayungi kamu 1 bulan yang agung, bulan yang padanya ada 1 malam yang lebih baik dari seribu bulan. Allah telah menjadikan puasa di bulan ini wajib, berqiyam pada malamnya sunat. Maka barangsiapa yang berbuatkebajikan padanya dengan 1 kebajikan, adalah serupa dengan orang menunaikan fardhu pada selainnya. Dan barangsiapa yang menunaikan perkara fardhu pada bulan ini, menyamai seperti menunaikan 70 fardhu di bulan-bulan lain. Ia adalah bulan sabar dan ganjarannya adalah syurga. Ia adalah bulan tolong-menolong, bulan yang ditambah padanya rezeki kepada orang yang beriman. Barangsiapa yang memberi makan pada bulan ini kepada orang yang berpuasa untuk berbuka puasa, maka amalan ini adalah pengampunan bagi dosa-dosanya, dan memerdekakannya daripada neraka, dan baginya pahala orang yang berpuasa itu tanpa dikurang pahala mereka sedikitpun. Mereka lalu bertanya: Ya Rasulullah! Bukan semua kami yang mampu menjamu orang yang berbuka puasa?. Lalu Rasulullah saw bersabda: “Allah akan memberi ganjaran ini kepada orang yang menjamu mereka yang berbuka puasa walau dengan seteguk susu, atau dengan sebiji tamar atau dengan secangkir air. Dan barangsiapa yang mengenyangkan seorang yang berpuasa, maka Allah memberikanya minum dari al-Haudh, iaitu minuman yang ia tidak akan dahaga sampailah ia masuk syurga. Ia adalah bulan yang awalnya adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan, dan akhirnya adalah pembebasan diri dari neraka. Maka perbanyakkanlah pada bulan ini dengan 4 perkara kebajikan. 2 perkara kamu akan mendapat keredhaan dari Tuhan kamu dan 2 perkara lagi kamu tidak dapat tidak mesti melakukannya. Adapun 2 perkara yang kamu akan mendapat keredhaan Tuhan kamu ialah syahadah “La ilaha illallah” dan kamu beristighfar padanya. Dan 2 perkara lagi yang kamu tidak dapat tidak mesti melakukannya ialah memohon syurga dan kamu meminta supaya dijauhkan daripada neraka”.

(Hadith ini diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah melalui perawi Ali bin Zaid bin Jad‘an daripada Said bin al-Musaiyib daripada Salman.)

Hadith ini adalah lemah, kerana lemahnya Ali bin Zaid. Al-Hafiz Ibn Hajar di dalam kitabnya Tahzib al-Tahzib (7/322-323) mengemukakan hukuman beberapa orang ulama terhadap Ali bin Zaid ini, antaranya:

Berkata Ibnu Sa’ad, “Di dalamnya ada kelemahan dan jangan berhujah dengannya,” berkata Imam Ahmad bin Hanbal, “Tidak kuat,” berkata Ibnu Ma’in, “Dhaif” berkata Ibnu Abi Khaitsamah, “Lemah di segala penjuru,” dan berkata Ibnu Khuzaimah, “Jangan berhujah dengan hadith ini, karena jelek hafalannya.” Dan Ibnu Khuzaimah berkata setelah meriwayatkan hadith ini, “Jika benar kabarnya.” Berkata Ibnu Hajar di dalam Al Athraf, “Sumbernya pada Ali bin Zaid bin Jad’an, dan dia lemah,” sebagaimana hal ini dinukilkan oleh Imam As Suyuthi di dalam Jam’ul Jawami’.

Ibn Abi Hatim pula di dalam kitabnya ‘Ilal al-Hadith telah menukil pendapat ayahnya yang menyatakan bahawa hadith ini adalah “Hadith Munkar”. Pendapat ini juga disokong oleh Syiekh Muhamad Nasirudin al-Albani yang turut menyatakan bahawa hadith ini adalah Munkar.

.........................................................................................................................................

Selain itu, terdapat juga hadith-hadith lemah dan palsu lain yang menyentuh tentang fadhilat sembahyang tarawikh secara khusus. Antara yang termasyhur ialah hadith yang diriwayatkan oleh Ali k.w tentang kelebihan tertentu pada setiap malam solat tarawikh. Hadith popular pada bulan Ramadhan ini yang menyebut tentang fadhilat setiap malam solat tarawikh ini adalah palsu. Hadith ini direka oleh puak Syi’ah untuk menonjolkan maqam ketinggian Ali k.w. Seperti mana yang didakwa oleh imam-imam Syi’ah bahawa beliau banyak menerima hadith-hadisth khusus yang tidak pernah diriwayatkan oleh sahabat-sahabat lain.

Sebagai contoh, pada malam ke-17, disebutkan bahawa ganjarannya ialah Allah s.w.t akan mengurniakan kepada orang yang sembahyang tarawikh pahala sekalian para Nabi. Cuba perhatikan apakah komentar Imam Ibn al-Qayyim dalam perkara ini. Beliau berkata:

Seolah-olah pendusta yang jahat ini (pembuat hadith palsu ini) tidak mengetahui jika seseorang yang selain daripada Nabi bersembahyang dengan umur Nabi Nuh saja, tidak akan ada seorang Nabi pun yang dapat menandinginya.

(Ibn al-Qayyim,cal-Manar al-Munif, hal.46)

Beliau telah menyenaraikan beberapa kriteria untuk mengenali hadith-hadith lemah tanpa melihat dan menyemak kepada sanadnya. Antara kriteria tersebut ialah:

Apabila sesuatu hadith itu menyebut tentang kelebihan dan ganjaran yang terlalu banyak apabila melakukan amalan yang kecil, dan dosa dan hukuman yang terlalu berat untuk kesalahan yang kecil yang mana ia tidak disebut oleh Rasulullah saw. Hal ini disebut sebagi al-Mujazafat.
(Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, hal.47)

KESIMPULANNYA

Demikianlah beberapa hadith yang saya bawakan sebagai contoh. Sebenarnya masih terdapat banyak lagi hadith-hadisth lemah dan palsu lain yang disebarkan kepada masyarakat. Tak dinafikan bahawa sebahagiannya mengandungi makna yang benar dan sesuai dengan syariat malah bertepatan pula dengan kajian yang dilakukan oleh manusia.

Contohnya tentang kelebihan berpuasa dari sudut kesihatan telah terbukti melalui kajian. Namun, sejauh mana kebenarannya sekalipun ia masih tetap tidak dibenarkan untuk disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. Bukan untuk menidakkan kebenaran fakta tersebut, tetapi adalah untuk mengelakkan pendustaan ke atas Rasulullah s.a.w. Jika dalam hal ini diizinkan, maka ia akan membuka ruang kepada golongan yang lain untuk akan turut mencipta hadith atau berhujah dengan hadith palsu yang berkaitan dengan urusan mereka lalu disandarkan kepada Rasulullah s.a.w.

Berkemungkinan juga hadith ini direka oleh ahli zuhud dan tasawuf yang menyeleweng bertujuan membangkitkan keghairahan masyarakat yang tidak mengetahui pelbagai kisah dan riwayat. Ia direka supaya masyarakat terpukau dan asyik mendengar ceritanya. Lalu masyarakat giat beribadat tanpa ilmu. Inilah penjelasan yang telah diberikan oleh Syeikh Mustafa al-Siba’ie di dalam kitabnya al-Sunnah.

Akhir bicara, renungilah pesanan al-Imam Abdullah ibn Mubarak:

Untuk mengetahui hadith sahih memerlukan kepada penelitian, sedangkan hadith lemah begitu mudah untuk didapati.

0 comments:

 
Minima Glass Blogger Template by Competitions World | Originally Minima Template by Douglas Bowman