Friday, August 21, 2009

Ramadhan, Selamat Datang!

Hampirnya masuk waktu solat Isyak. Beberapa buah kereta masuk ke perkarangan asrama untuk mengundang kami ke surau. Kami dan beberapa senior terus dibawa ke sana. Dalam perjalanan, kami berbual kembali cerita di surau semalam. Memang tak basi dan memang tak kering gusi.

"Weh Basim, kau pergi tak tadarus malam ini?" tanya saya kepadanya pada petang itu selepas penat menghafal.

"Pergilah," jawabnya ringkas.

Pertanyaan saya 'bagaikan sudah tahu bertanya pula' padanya, mungkin. Ataupun kerana mengganggunya menghafal. Pada hal memang setiap malam Ramadhan kami akan bertadarus di Surau Kampung Hulu Sg. Udang. Jadi tak perlulah timbul persoalan seumpama itu.

Saja saya bertanya kerana kami akan menduduki peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) tak lama lagi. Banyak yang perlu kami hafal kerana ada 9 subjek dan semuanya dalam Bahasa Arab. Yang menjadi cabaran utama kami ialah buku pembelajaran kami tiada baris untuk memudahkan membacanya seperti mana buku yang kami gunakan daripada Jabatan Agama Islam Selangor semasa tingkatan 1 dahulu. Dan syarahnya pula panjang kerana buku yang kemudian kami gunakan adalah daripada silibus Universiti Al-Azhar.

Hampir lewat malam

Balik daripada tadarus, ada saja cerita yang kami bualkan. Dan yang pastinya, cerita itu mesti membuatkan perut kami senak akibat ketawa yang amatlah melampau. Ada juga yang sampai berair matanya (habislah hafalan-hafalan kami, lagi-lagi Al-Quran). Apa yang kami cerita? Biarlah kami saja yang menyimpan cerita-cerita itu.

Indahnya saat bersama bila diimbas kembali...

BULAN MULIA, BULAN PENUH KEBERKATAN



Alhamdulillah, tahun ini sekali lagi kita dizinkan untuk bertemu Ramadhan, bulan mulia dan penuh keberkatan ini. Sesungguhnya ibadah puasa telah dijanjikan pelbagai kelebihan bagi sesiapa yang menunaikannya. Cukuplah beberapa nas saya bawakan sebagai pembakar semangat untuk kita menghadapi Ramadhan ini:

Dari Malik, dari Abuz Zanad, dari A'raj, dari Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda: Puasa itu perisai, apabila ada seorang kamu pada suatu hari sedang berpuasa, maka janganlah berkata-kata keji, dan janganlah berlaku jahil. Dan jika ada seseorang memakinya atau mahu membunuhnya maka katakanlah, "Sesungguhnya aku sedang berpuasa", sebanyak 2 kali. Demi Dzat yang jiwaku ada di Tangan-Nya. Nescaya bau mulut orang yang berpuasa lebih baik di sisi Allah dari bau al-misk (minyak wangi). Orang yang berpuasa itu meninggalkan makan dan minumnya serta meninggalkan syahwat keinginannya kerana untuk-Ku. Amalan berpuasa adalah semata-mata untuk-Ku dan Aku sendirilah yang akan memberi ganjaran dan kebaikan dengan 10 (ganda) yang seumpama dengannya.

(HR Bukhari)

Apabila datangnya Ramadhan akan dibuka pintu-pintu syurga, dan ditutup pintu-pintu neraka, dan dibelenggu syaitan-syaitan.

(HR Bukhari dan Muslim)

Daripada Abu Umamah ra berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah saw: Ya Rasulullah! Tunjukkan kepadaku satu amalan yang membolehkan aku memasuki syurga dengannya. Maka Rasulullah saw bersabda: “Hendaklah kamu berpuasa, tiada lagi yang seumpamanya.

(HR al-Nasai, Ibn Hibban dan al-Hakim dan sanadnya adalah sahih).

Dari Khalid bin Makhlad, katanya: Kami diberitahu oleh Sulaiman bin Bilal, katanya: Aku diberitahu oleh Hazim, dari Sahal r.a, dari Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya di dalam syurga ada sebuah pintu yang dinamakan Ar-Rayan (orang yang sudah kenyang kerana minum), yang akan dimasuki oleh orang-orang yang berpuasa pada hari kiamat nanti. Tiada seorang pun yang dapat memasukinya selain mereka. Akan diucapkan, "Manakah orang-orang yang berpuasa itu?". Lalu mereka pun berdiri. Memang tidak ada seorang pun dapat memasuki syurga melalui pintu tersebut melainkan mereka sahaja. Apabila mereka telah masuk semuanya lalu ditutup pintu itu sehingga tiada seorang pun yang dapat memasuki syurga melaluinya.

(HR Bukhari)

Selain itu, dalam bulan ini jugalah telah diturunkan al-Quran dan disediakan suatu peluang sebagai anugerah istimewa kepada hamba-hambaNya yang terpilih dengan Lailatul Qadar. Firman Allah s.w.t:

Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan daripada petunjuk dan perbezaan (antara yang haq dan batil).

(terjemahan Al-Baqarah: 185)

Sesungguhnya kami turunkan ia (Al-Quran) pada malam Lailatul Qadar.

(terjemahan Al-Qadr: 1)


Jom kita banyakkan amal ibadah kita

11 bulan sudah jasmani kita bersantap

Berilah peluang kepada rohani kita pula untuk sebulan ini

Tak salahkan?

0 comments:

 
Minima Glass Blogger Template by Competitions World | Originally Minima Template by Douglas Bowman