Saturday, September 26, 2009

Kemeriahan Aidilfitri

0 comments
Raya tahun ini berlainan sedikit daripada tahun-tahun lepas. Dulu naik van sekeluarga balik ke kampung. Sekarang ini bila sudah besar, kaki pun dah panjang-panjang tak bolehlah balik ke kampung dengan menaiki 1 van Mez beramai-ramai lagi. Ditambah lagi van sebaya saya itu selalu berasap dan membuatkan hati juga mendidih berasap sewaktu berpuasa, eloklah raya tahun ini kami balik ke kampung menaiki kereta.

Alhamdulillah, disebabkan tahun ini Umi sudah membeli kereta baru, selesalah sedikit perjalanan ke kampung. Saya pun merasalah pandu kereta ke kampung tanpa berganti-ganti seperti sebelum ini. Baru tahu macam mana penatnya pandu kereta berjam-jam. Aduyai...

Tapi yang bestnya dapatlah bergerak sendiri pusing-pusing Melaka, ziarah rumah kawan-kawan dan guru-guru.

SEHARI SEBELUM RAYA

Lepas saja solat Subuh, terus siap-siap bergerak. Mulut sayalah paling bising pagi itu. Mana tak nya, adik-adik yang lain macam pahat. Nak diberitahu, baru buat kerja. Apa-apa pun saya minta maaf, marah saya itu bukan marah semata, tapi untuk kebaikan juga sebelum Umi dan Ayah marah dulu.




Berehat sebentar di R&R sebelum memulakan perjalanan seterusnya.


Akhirnya tiba juga di kampung Tedong Darat


Jangan percaya dengan P. Pot. Dia berlakon je ni!



HARI RAYA PERTAMA

Sesi bermaaf-maafan antara keluarga di pagi raya.








Bersarapan sebelum beraya ke Pengkalan Balak.


Konvoi beramai-ramai!


Kereta tersangkutlah pula. Memang Mak Teh Jamiah tak kan lupa kenangan ini.

HARI RAYA KEDUA






Rasanya tak terlambat lagi nak ucapkan SELAMAT HARI RAYA kepada semua kawan-kawan tak kiralah sama ada kita pernah bersua atau tidak. Dan rasanya raya tahun ini memang bermakna. Dapat juga saya menziarahi kawan-kawan dan guru-guru yang dah lama sangat tak berjumpa.

MAAFKAN SALAH SILAP SAYA sama ada saya tak sedari, apatah lagi yang saya sedar.

Read More...

Friday, September 11, 2009

Bermulanya Kelas Malaysian Cuisine

0 comments
Tengah hari semalam memang seronok sangat sebab kelas memasak telah pun bermula walaupun semester baru telah bermula minggu lepas. Semester kali ini saya terjumpa lagi dengan kawan-kawan lama. Setelah lama merantau dari kelas ke kelas, akhirnya saya sudah mempunyai ramai kenalan. Rasanya saya sudah tak risau lagi kalau tercampak dekat mana-mana kelas selepas ini.

Sebenarnya bukan sebab bermulanya kelas memasak membuatkan saya gembira sebegini tetapi kerana dapat juga bekerjasama dengan kawan-kawan yang yang saya nak sangat bekerja dalam 1 kumpulan daripada 2 semester lepas lagi. 2 semester lepas kami berlainan kelas Basic Western dan Basic Pastry. Tetapi kali ini kami sudah bersama dalam kelas Malaysian Cuisine dalam tempoh 4 bulan ini.

Jom santai-santai lagi, layanlah gambar-gambar yang sempat diambil pada tengah hari semalam

Tugas kami ialah memasak masakan utara. Jadi menunya ialah Nasi Bukhari, daging masak Arab, opor ayam dan kerabu taugeh kerang.

Dari kiri: Ilyas, Wee Lun dan saya

Pada mulanya kami hanya berempat. Ahli awalnya ialah Ilyas, Wee Lun, Aizat dan saya. Wee Lun adalah senjata utama kami dalam bulan Ramadhan ini. Dialah tester makanan kami.

Dari kiri: Remy, Wee Lun, saya dan Ika.

Tetapi tak lama kemudian kumpulan kami bertambah lagi seorang ahli, Ika namanya. Semester lepas kami sama kelas Principle Management tapi langsung tak berkenalan, sekarang sudah 1 kumpulan.

Dari kiri: Put dan Harith

Yang 2 orang ini memang mengecohkan suasana. Kalau 2 orang ini tak datang, agaknya sunyi kami. Apa-apa pun mereka memang kawan yang best walaupun kadang-kadang bertikan lidah dan suka tikam belakang, hehe.




Mana Aizat?

Gambar ini semua diambil daripada tuan punya blog Kawankucinta, Aizat.

Read More...

Tuesday, September 8, 2009

Kisah Harian Di Bulan Ramadhan

4 comments
Malam ini masuknya 18 Ramadhan. Sudah seminggu tamatnya tender jamuan berbuka puasa yang keluarga kami dapat, Salisa Catering untuk Masjid Jamek Tun Uda, Seksyen 16. Kini barulah terasa lapang sedikit untuk mengupdate blog selepas demam lagi pada beberapa hari yang lepas.

Dalam kekalutan dengan kerja, agak suntuk masa untuk saya berblog. Sedikit saja masa yang dapat dicuri. Itu pun pada selepas solat Subuh supaya dapat mengelakkan daripada tidur balik akibat kekenyangan bersahur. Agak pagi sedikit barulah saya rehatkan mata sebentar sebelum menjalani kerja-kerja yang sedia menunggu saya.



Lebih kurang jam 11 pagi, mulalah masuk ke dapur untuk menggoreng wadey. Mula-mula ingat saja nak mencuba sebab daripada kecil lagi asyik tengok saja Umi buat. Tapi terasa rugi pula kalau tak belajar buat kuih ini. Ditambah lagi selepas dicabar Umi, terus saya buat. Tiba-tiba kerja ini menjadi kerja tetap saya pada bulan Ramadhan ini???

Tapi eloklah, Umi dapatlah siapkan kuih yang lain macam pulut panggang dan kuih yang agak klasik, tepung gomak.


Di belakang rumah pula, P. Pot (nama sebenar Hanafi, yang ini adik ke-4) dan Bibik Erra Pajira (itu sebutan indonnya, kalau orang kita sebut Erra Fazira) sibuk membasuh barang-barang niaga semalam. Tengok, rajin bukan?


Inilah rupa kuihnya kepada sesiapa yang tak tahu lagi. Umi buat lagi sedap daripada orang India sendiri buat, mereka sendiri yang akuinya kerana tak masam seperti orang India buat dan nampaklah cili keringnya, cili hijaunya dan bawang. Orang Melayu sendiri pun sudah ramai yang menggemarinya.

Yang saya buat ini dah cantik dah, tak macam 3 hari sebelum itu, habis kena kutuk dengan adik bongsu saya.

Umi siap cakap, "Ni kalau adik kau balik tengok, dia dah tahu bukan Umi yang goreng sebab yang tolong balik-balikkan kuih ini masa menggoreng dialah"

Saya terdiam. Terasa sedikit kagum dan cemburu pada adik bongsu saya. Untung dia, baru berumur 12 tahun sudah mempunyai minat memasak macam saya, rajin pula.

Jadi bila adik saya balik daripada sekolah, saya yang di dapur boleh dengar dia dia kritik, Umi! Siapa masak ni? Hitam! (sebenarnya taklah hitam, tapi lebih gelap daripada kebiasaan, haha)

Selepas mengoreng wadey, sambung pula kerja menyediakan jamuan berbuka pula. Potonglah segala apa sayur, kalau ada ikan sianglah ikan, kalau ada ayam potonglah ayam, huh~

Dah siap semua kerja itu barulah dapat tidur sekejap, zzzz...


Dalam jam 3 petang kena sambung kerja balik, siapkan semua barang-barang niaga untuk bazar Ramadhan dan jamuan di masjid. Selepas siapkan barang untuk ayah meniaga, barulah siapkan barang-barang untuk jamuan pula. Ayah dan P. Pot bertolak ke bazar lebih kurang jam 3.30 petang. Saya pula sebelum waktu Asar sudah kena bertolak daripada rumah, kalau tak kenalah tempuh jam macam ini.


Huh! Penat setting lauk-lauk seorang diri. Siap saja kerja terus masuk dewan solat buat apa yang patut sementara menunggu waktu berbuka. Adalakanya saya menulis draft-draft yang akan saya publish pada masa akan datang.


Lebih kurang jam 7 malam barulah P. Pot datang ke masjid daripada menolong ayah meniaga di bazar. Kasihan dia, nak datang ke masjid saja dah kena menapak 2 km. Tapi kena juga minta tolong dia, bukannya boleh saya handle 150 jemaah seorang diri.


Semua jemaah sedang berbuka puasa dengan air dan kurma saja dahulu. Kebanyakannya jemaah adalah warga Bangladesh, tak tahulah kenapa orang kita tak begitu berminat berbuka secara berjemaah semeriah sebegini. Agaknya sebab free kot...


Lauk yang saya paling suka sekali, daging masak asam pedas! Dalam katering Umi, inilah lauk killer. Kecur air liur. Dengan masamnya, pedasnya, sedikit rasa lemak disebabkan renehan lemak daging memang buat 1 mulut terangsang dengan rasanya. Dimakan pula dengan sayur kobis, memang 1 kombinasi lauk yang paling baik.

Selepas solat Maghrib barulah dapat makan yang berat. Masa mula-mula dulu terperanjat juga melihat kuantiti warga Bangladesh makan. Mana tidaknya, 3 kali ganda daripada saya. Tapi bila difikirkan-fikirkan yang kerja mereka ini berat-berat, fahamlah mengapa mereka makan sebanyak itu. Apa-apa pun tugas saya pada waktu ini adalah menjaga lauk. Lauk yang mana kurang kenalah ditambah.

Sepanjang 9 hari menguruskan jamuan berbuka di sana, amatlah banyak pengalaman yang saya dapat. Banyak sebenarnya yang ingin diceritakan, tapi rasanya terpaksa ditapis. Akan membuka pula pekung mana-mana pihak nanti. Jadi, zip mulut.

Hmm...

Kini sudah 18 Ramadhan ya...

Read More...

Tuesday, September 1, 2009

Kami Tolak Hudud

2 comments
"Makan sup tanganlah gamaknya"

"Silap-silap boleh dapat sup kaki kalau pencuri itu berdegil lagi"

"Batu dekat jalan pun habis orang buat rejam penzina"

Itulah suara sinis yang kedengaran. Yang hairannya suara sinis itu datangnya daripada umat Islam sendiri. Belum pun terlaksana pelbagai spekulasi telah dibuat. Walhal hukuman hudud bukanlah digubal oleh manusia untuk kita persoalkan tetapi Allah dan Rasul-Nya jua.

Sebelum anda berhenti membaca kerana sama ada

Anda sudah sedia maklum mengetahui hudud

Atau tak nak pun mengetahui hudud, suka saya sekiranya anda fahami dulu bahawa

SUSAHNYA HUKUMAN HUDUD HENDAK DIJATUHKAN KEPADA INDIVIDU

Bukan senang-senang boleh dijatuhkan hukuman hudud seperti sesetengah pihak yang semua tangan orang nak ditebasnya, semua badan orang nak dilibasnya. Patutlah sesetengah pihak yang lain menolak hudud apabila baru sahaja dimanifestokan. Kalau ada yang berkata kepada saya hudud adalah kejam hukumannya, saya kata

"Benar"

"Tak salah"

Tapi mari kita lihat dulu cara pelaksanaan hukuman yang kejam ini, yang belum lagi terlaksana tetapi sudah pun digeruni pelaksanaannya:

1. Pendakwa perlu membawa jumlah saksi yang tertentu.

2. Jikalau syarat saksi tidak memadai, pendakwa sendiri akan dikenakan hukuman. Apabila difikirkan balik semestinya orang takut nak buat report sesuka hati walaupun baru setakat memenuhi bilangan saksi untuk mendakwa, belum lagi dilihat dari segi kekonsistenan keterangan saksi.

3. Pada zaman Rasulullah s.a.w pun bukannya maksiat tak pernah terjadi, tapi baginda tak pernah pun buat 'pengintipan pencegahan maksiat' semata-mata untuk menjatuhkan hukuman kepada seseorang seperti mana sekarang.
"Sesungguhnya seseorang penguasa, apabila dia mencari-cari kesalahan rakyatnya, bererti dia merosakkan mereka"
(Sahih Sunan Abu Daud)
Jadi semakin kecillah kebarangkalian seseorang itu untuk dijatuhkan hukuman hudud, Rasulullah s.a.w sendiri pun tidak mencari-cari kesalahan orang lain untuk dilaksanakan hukuman ke atas mereka semata-mata untuk menegakkan hukuman hudud.

4. Tidak dianjurkan orang yang membuat jenayah melaporkan kepada pihak penguasa. Sebaliknya hendaklah dia bertaubat.
"Jauhilah perkara-perkara keji yang telah dilarang oleh Allah. Sesiapa yang melakukannya, hendaklah dia menutupinya dengan tutupan Allah dan bertaubat kepada Allah. Ini kerana jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang diperintahkan oleh Allah 'Azza wa Jalla."
(Dikeluarkan oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi. Al-Hakim berkata: Hadith ini sahih atas syarat-syarat daripada Bukhari dan Muslim tetapi mereka tidak mengeluarkannya.)

Ada suatu kisah di mana ada seseorang mengaku berzina kepada Rasulullah s.a.w. Ketika direjam, akibat tidak tahan kerana sakit, beliau melarikan diri. Lalu salah seorang sahabat mengejarnya dan dipukulnya sehingga mati dengan tulang unta. Kemudian hal ini diceritakan kepada baginda, lalu baginda bertanya:
"Kenapa tidak dibiarkan dia? Mungkin dia bertaubat dan Allah menerima taubatnya"
(Sunan Abu Daud. Sanadnya hasan)
5. Sekiranya seseorang mengetahui berlakunya jenayah secara tertutup, tidak dianjurkan melaporkannya kepada pihak penguasa. Sebaliknya hendaklah dia memberi nasihat secara tertutup. Seperti mana sabda Rasulullah s.a.w:
"Sesiapa yang menutupi (kesalahan) seseorang Muslim, maka Allah menutupinya di dunia dan akhirat."
(Sahih Sunan Ibn Majah)
"Saling memaafkanlah terhadap (jenayah) hudud yang berlaku diantara kamu kerana (sesuatu jenayah) hudud yang sampai kepada aku, maka wajib dikenakannya hukumannya."
(Sahih Sunan Abu Daud)
6. Datangkan keraguan terhadap kes tersebut. Contohnya sama ada individu itu gila atau tidak, memahami atau tidak definisi sesuatu jenayah (contohnya zina) serta tidak salah faham dan keliru agar dapat dielakkan daripada dijatuhkan hudud seperti mana suatu kisah di mana seorang Muslim datang menemui Rasulullah s.a.w di masjid dan berkata:
"Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku telah berzina." Rasulullah lalu berpaling daripada orang tersebut sehingga orang tersebut mengulang-ulangi pengakuannya sebanyak 4 kali. Apabila dia bersaksi ke atas dirinya sebanyak 4 kali lalu Nabi s.a.w memanggilnya dan bertanya: "Adakah engkau gila?" Dia menjawab: "Tidak." "Adakah engkau sudah berkahwin?" Dia menjawab: "Ya." Maka Nabi s.a.w bersabda: "Ambillah dia dan rejamlah dia."

(HR Bukhari)
Dalam riwayat yang lain pula Rasulullah s.a.w bertanya:
"Mungkin engkau hanya mencium atau menyentuhnya atau memandangnya?"
(HR Bukhari)
MANA SILAPNYA?

Jadi, disebalik hukuman fizikal yang kejam ini besar kemungkinan anda telah pun memahami bahawa hudud AMAT SUSAH untuk dijalankan terhadap individu. Cuma disebabkan dakyah-dakyah sebegini

"Eh, ramai lagi orang yang minum arak. Kenapa tak jalankan hudud ke atas mereka?"

"Habislah, penatlah tukang sebat nak menyebat. Berderet nanti yang nak dihadapkan ke muka pengadilan"

"Gila ke? Gelaplah masa depan Si Pencuri, nak cari kerja payahlah nanti. Tengok 'pengenalannya' sahaja sudah diketahui dia tak boleh dipercayai"

Ada pihak-pihak yang kurang memahami hudud

Mentah-mentah ditolaknya. Mereka berpendapat negara akan mengamalkan sistem syariah yang menggerunkan. Tak kurang pula berpendapat apabila dibongkarnya 'cerita-cerita dulu', kebanyakan rakyatnya nanti atau 'barisannya' akan berjalan ke sana sini tanpa tangan dan badan yang berbelang-belang.

Ada juga pihak-pihak yang kurang memahami hudud.

Tetapi mereka beria-ria hendak hudud dilaksanakan. Bagi mereka, negara Islam mestilah menjalankan syariat Islam iaitu negara yang tugasnya adalah menebas tangan serta menyebat penzina dan peminum arak. Tindakan seperti inilah yang akan memberi gambaran buruk terhadap pihak yang kurang memahami. Sekiranya kita mahu mencegah maksiat dan kemungkaran ikutilah apa yang digariskan oleh Rasulullah s.a.w. Jangan kita mempersoalkan keberkesanan dan logiknya kerana kita sendiri sama seperti yang menolak hukum Allah.

Akhirnya hudud yang sebenarnya sejak dari dulu lagi sudah lama dipersoal dan diperbahaskan dijadikan isu untuk menghentam dan mengkritik. Lebih malang lagi hingga sampai ke tahap musuh-bermusuhan dan kafir-mengkafirkan antara umat yang sudah sedia berpecah ini.

Janganlah kita begitu cepat membuat keputusan terhadap kedudukan seseorang itu di akhirat nanti. Kita hanya boleh menilai ini perbuatan dosa, ini perbuatan pahala. Orang ini menzahirkan maksiat, orang ini menzahirkan ibadat. Orang ini menjalankan hukum Allah, orang ini menolak hukum Allah. Cukup sekadar itu sahaja penilaian kita. Tak lebih daripada itu.

Walaupun perbuatan-perbuatan mereka itu boleh diumpamakan seperti mana sifat-sifat orang kafir dan munafiq yang disebutkan Allah dan Rasul-Nya, namun untuk kita menjustifikasikan kedudukan seseorang itu di akhirat seperti

"Oh, dia masuk neraka kerana perbuatannya itu"

"Oh, dia masuk syurga dengan amalannya itu"

Itu bukan urusan kita untuk menetukan. Hanya Allah dan Rasul-Nya saja yang berhak. Siapalah kita untuk menentukan.

TAHU PULA KITA HENDAK MENJATUHKAN HUKUMAN SEKEJAM-KEJAMNYA TERHADA PESALAH LAKU APABILA...

Nasib seorang isteri dihentak kepalanya dengan bata dan dicederakan dengan pisau oleh suaminya yang mabuk klik sini

Adik iparnya yang mabuk membunuh suaminya dan menyebabkan si isteri terpaksa menyara tiga orang anaknya klik sini

Kebinatangan seorang bapa menjadikan keempat-empat anaknya sebagai pemuas nafsu sejak 16 tahun yang lalu! klik sini

Seorang bapa tiri merogol seorang remaja berusia 15 tahun. Lebih malang lagi mangsa ditikam dan disimbah asid. klik sini

Kesemua mangsa tersebut adalah wanita

Wanita menjadi mangsa lelaki yang mabuk dan bernafsu binatang

Wanita mahukan keadilan sewajarnya, setaraf dengan kesalahan yang dilakukan dengan hukuman yang dijatuhkan. Bukan hukuman konvensional yang berbentuk hukuman penjara dan denda ribuan ringgit terhadap pesalah laku seperti mana yang dijalankan di negara kita

Bukankah wanita mahukan pembelaan dan keadilan dalam segala hal? Memperjuangkan kesamarataan, kedudukan, kelebihan dan kemuliaan wanita Muslim dalam segala apa yang lelaki dominasi berkurun dulu?

Malah ada sampai mempersoalkan keprejudisan mereka terhadap tafsir Al-Quran dan hadith kerana yang ahli-ahli dalam kedua-duanya semuanya lelaki.

Apabila ada wanita yang mempunyai kesedaran yang cukup tinggi dan mahu dijalankan hukuman kejam ini kepadanya secara sukarela serta dijadikan contoh kepada masyarakat, ramai yang mempersoalkan.

Hairannya, kini mana perginya keadilan yang diperjuangkan itu?

HIKMAH DI SEBALIK HUKUMAN KEJAM INI

Hudud ialah hukuman yang telah ditetapkan sendiri bentuk dan kadarnya oleh Allah dan Rasul-Nya. Tak kira pangkat, keturunan dan kekayaan, semua pesalah laku adalah berkedudukan sama rata dihadapan hudud, 1 hukuman yang tidak boleh dijual beli untuk melepaskan diri.
"Sesungguhnya orang-orang sebelum kalian musnah, tidak lain kerana mengenakan hukuman hudud ke atas seseorang miskin dan mengecualikan yang mulia. Demi jiwaku yang berada di Tangan-Nya, seandainya Fatimah (anak baginda) melakukan kesalahan sedemikian (mencuri), pasti akan potong tangannya jua."

(HR Bukhari)
Tetapi hudud tidaklah disama ratakan kepada setiap pesalah laku yang mempunyai tahap fizikal yang berbeza-beza. Hukuman yang kejam ini masih lagi boleh bertoleransi seperti mana pada zaman Nabi s.a.w pernah seorang yang kecil lagi lemah melakukan zina. Lalu perkara ini dihadapkan kepada Rasulullah s.a.w
"Wahai Rasulullah! Sesungguhnya dia amat lemah untuk menerima hukuman tersebut sehingga jikalau kami menyebatnya sebanyak seratus kali, nescaya kami akan membunuhnya." Rasulullah s.a.w menjawab: "Ambillah tangkai kurma yang ada seratus ranting padanya dan sebatlah dia dengan sekali sebatan sahaja. Setelah itu bebaskanlah dia."
(Dikeluarkan oleh Ahmad dan dinilai sahih oleh Syu'aib al-Arna'uth dan rakan-rakannya dalam semakan mereka atas Musnad Ahmad)

Hukuman yang zalim dan tak berperikemanusiaan ini awal-awal lagi sudah digeruni. Malah ia cukup memberi kesan kepada pesalah laku yang menjalani hukuman ini sehingga 'trauma'. 'Trauma' yang membuatkan pesalah laku mewujudkan tembok pemisah antara dia dengan kesalahan lampau hinggakan tidak memungkinkan dia untuk kembali melakukannya lagi.

Tanyalah barisan pakar perundangan negara kita, berapa ramai penjenayah keluar masuk penjara? Berapa lama tempoh penjenayah yang baru sahaja keluar penjara masuk balik penjara? Berapa juta yang diperuntukkan negara untuk kos penjagaan penjara dan banduan di Malaysia? Tanyalah mereka hukuman apa lagi yang mampu menyelesaikan masalah jenayah di negara kita.

ALANGKAH BAIKNYA...

Yang arif memahamkan kepada yang kurang memahami dengan penuh hikmah dan kesabaran. Bertolenrasilah dengan mereka. Jangan begitu cepat menyerang, menghentam dan menghukum seseorang atas perbuatan mereka kerana tindakan kita yang terburu-buru itu hanya akan mebuatkan mereka menutup rapat telinga walaupun diakui ada juga benarnya. Tetapi kerana kita awal-awal lagi sudah menggoyah kredibiliti yang mereka ada, secara spontan mereka akan membela diri sendiri sama ada berada dalam bentuk

Berlindung dengan makin merapatkan telinga dan membutakan hati atau

Membela diri dengan apa saja ada walaupun dengan berkata yang mereka sendiri tahu seperti menegakkan benang yang basah

Jikalau mereka terus ego mempertahankan pandangan mereka, itu urusan mereka. Allah Maha Adil lagi Maha Mengetahui. Kita pula perbaikilah cara kita berdakwah. Janganlah kerana baru 1 langkah kita ambil, kita disempitkan dengan merasakan langkah itulah langkah yang pertama dan terakhir untuk berjaya membuat mereka menerima. Lalu apabila tak diterima dan tak tercapai objektif terus kita mati akal dan dengan cepat kita menghukum individu tersebut.

Yang kurang memahami pula lihatlah sesuatu itu dari sudut positif. Tak kiralah sesuatu yang datang itu dalam bentuk buruk, lapangkanlah dada untuk menerimanya. Janganlah terlalu cepat melenting dan menyemarakkan lagi api yang sedia dinyalakan. Bersabarlah, jangan kerana maruah dan status kita yang tak boleh dijentik kita curah pula minyak tanah pada api yang sudah sedia marak.

Walaupun kita sememangnya sudah sedia berpecah-belah dan berbeza perjuangan, tetapi janganlah kita saling bermusuhan. Sebaiknya kita manfaatkanlah perpecahan dan perbezaan itu untuk saling membaiki kelemahan masing-masing, bukan saling menjatuhkan.

Read More...

 
Minima Glass Blogger Template by Competitions World | Originally Minima Template by Douglas Bowman