Monday, October 5, 2009

Bagaimana Pula Anakku Beraya Nanti

Masuknya waktu Isyak. Lantas saya pun menyarung baju bersiap-siap ke surau. Tiba-tiba kedengaran jeritan salam diberi berulang-ulang.

"Assalamu'alaikum!!!"

"Kami datang nak beraya!!!" kedengaran pula jeritan seorang budak.

Terasa mendidih pula darah ini. Mahu saja digegarkan rumah ini dengan jeritan sebegitu. Daripada salam yang diberi dapat saya agak memang ramai dan majoritinya adalah kanak-kanak berumur sekitar 5 hingga 8 tahun. Saya pun membuka pintu dan menyambut mereka di luar.

"Wa'alaikumsalam. Adik, boleh tak kalau adik datang beraya lepas habis sembahyang nanti. Baru masuk waktu ni kan. Abang nak ke surau, mak abang pula sibuk memasak di dapur, jelas saya sambil cuba tersenyum.

"Kejap lagi adik datanglah sini balik eh," lawa saya pula.

Nak ajak ke surau saya lihat hampir kesemuanya pula budak perempuan. Tambahan pula kebanyakan orang kita yang terlalu terikat dengan 'uniform' solat menyebabkan solat selalu saja diberatkan lalu dilewatkan. Ada juga yang yang berasa lebih baik untuk meninggalkannya.

Adalah tak salah jika kita memakai 'unifrom' solat ini. Pakailah apa pun. Apa yang dituntut dalam Islam ialah pakaian kita suci daripada najis dan menutup aurat. Bayangkanlah jikalau sewaktu kanak-kanak lagi mereka sudah diberatkan dan terikat dengan 'uniform' ini lalu mereka berasa susah untuk menunaikan solat. Jangan sampai apabila mereka sudah besar, tambahan pula berjauhan dengan ibu bapa menyebabkan berasa ringanlah mereka untuk meninggalkan solat.

"Ok abang. Nanti kami datang lagi eh."

Saya mengangguk.

Pantas saya berjalan ke surau yang jauhnya lebih kurang 100 meter sahaja. Kelihatan ramai kanak-kanak yang berpakainan cantik-cantik berkejaran.

LAKONAN SEMULA YANG MENYEDARKAN


Tiba-tiba kelihatan sekumpulan budak-budak keluar berlari-lari selang 2 buah rumah daripada rumah saya. Diikuti pula seorang budak kecil sambil menangis dengan kuat bagaikan nak saja menarik perhatian makhluk seisi alam ini untuk mendapat simpati.

Lantas saya teringat bagaimana keadaan saya pula ketika beraya sewaktu kecil. Biasanya kami akan menubuhkan satu 'pasukan' yang terhad bilangan ahlinya. Paling ramai 4 orang. Sifirnya mudah, 'lagi sedikit bilangan ahli, lagi banyak duit raya yang kami dapat'. Dulu dapat 5 ringgit pun sudah dikira sangat banyak jumlahnya. Dan jangan lupa paling penting bersopan dan ramah! Pasti dapat tuan rumah tak lokek untuk memberi lebih.

Agaknya budak-budak ini sengaja meninggalkan budak yang kecil ini. Sama seperti apa yang saya lakukan apabila beraya bersama kawan-kawan ketika kanak-kanak dahulu. Kasihan pula apabila melihat dia ditinggalkan sebegitu rupa.

Teringat pula bagaimana saya lakukan pada adik-adik saya ketika itu. Pada masa itu saya merasakan leceh dan susah membawa mereka. Pasti rosak rancangan kami untuk dapat duit raya lebih. Saya tahu ketika itu apa perasaan mereka. Sedih juga lebih-lebih lagi mereka adalah darah daging saya. Cuma sengaja saya buang jauh-jauh perasaan itu. Hari ini barulah saya tersedar bagaimana perasaanya.

"Adik-adik, maafkan along".

Tiba-tiba lamunan saya terhenti apabila bila bilal surau suruh saya menjadi imam. Terlalu jauh saya fikirkan hinggakan saya sudah sampai ke surau rupanya. Saya tersenyum dan menolak secara baik. Lebih baik ustaz yang mengajar Al-Quran di surau itu yang menjadi imam. Itu yang selayaknya dan paling baik.

SIAPA HARUS DIPERTANGGUNGJAWABKAN

Ketika solat kedengaran lagi jeritan salam yang bertalu-talu diberi oleh kanak-kanak tadi. Pantas saya dapat mengecamnya. Saya jadi alpa seketika dan terdetik persoalan demi persoalan yan hinggap di hati saya.

Adakah mak ayah mereka tak pesan pada anak mereka masing-masing adab-adab ziarah? Atau adakah nasihat sudah diberi tetapi selaku ibu bapa hanya memberi nasihat sekadar melepaskan batuk di tangga? Entahlah. Kalau dalam soal salah menyalahkan, hampir semua orang lebih cenderung untuk menuding jari ke arah orang lain. Susah untuk merasakan bertanggungjawab di hati masing-masing atas apa yang berlaku.

Sesudah solat saya terus balik ke rumah. Sepanjang perjalanan saya asyik memikirkan bagaimana pula adik saya yang bongsu beraya. Seingat saya, saya sudah pesan padanya semasa memandu kereta ketika beraya di kampung.

"Adik, nanti bila beraya duduk rumah orang elok-elok eh. Jangan nak cepat je. Nanti nampak sangat adik nak duit raya, bukannya nak beraya," kata saya sambil melihatnya di cermin belakang.

Kelihatan Adik mengangguk sambil tersengih. Menampakkan pula 2 batang giginya yang agak besar itu.

"Lepas itu jangan buka sampul raya depan tuan rumah. Bukalah bila sudah jauh sedikit, nanti adik mengomel macam dulu pula."

Lantas terkekek kami beradik ketawa di dalam kereta apabila bercerita balik peristiwa itu semasa beraya di rumah Mak Long. Pada waktu itu, usia Adik sekitar 8 tahun. Selepas saja bersalam-salaman dengan keluarga Mak Long, Adik yang awla-awal lagi sudah mendapat duit rayanya terus meluru keluar. Kami yang baru hendak keluar rumah tiba-tiba terdengar teriakan Adik

"La, 30 posen je!"

Kami adik beradik cepat-cepat keluar dan mendapatkan Adik untuk 'menjaga' mulutnya daripada terlepas lagi kata-kata yang kurang enak didengari. Pada hari itu, 1 hari suntuk kami mengajuknya. Agaknya hinggalah seperti mana sekarang.

"Lagipun, Adik pun mesti tak senang kan kalau hadiah yang Adik bagi pada orang dibuka di depan Adik, lebih-lebih lagi kalau hadiah itu murah nilainya bagi Adik," tambah saya lagi.

Adik hanya berdiam diri dan menongkat dagu pada lengannya. Saya teruskan kembali penumpuan kepada pemanduan saya.

Alhamdulillah nampaknya dia lebih matang sedikit daipada tahun-tahun sebelumnya. Tapi tak tahulah bagaimana cara dia beraya apabila bersana rakan-rakannya. Terasa pula saya untuk bertanya padanya sebagai langkah pemantauan.

Apa yang saya rasa, semua orang perlu memainkan peranan. Tak boleh juga kalau mahu disalahkan pada ibu bapa saja. 24 jam yang ada itu bukan semua masa itu dihabiskan oleh ibu bapa dan anak-anak. Kita selaku 'mata' yang berada di persekitaran mereka sepatutnya juga perlu ada rasa tanggungjawab. Jangan nanti bila kita sudah mempunyai anak, kita pula yang dicemuh nanti. Pada masa itu, barulah kita terfikir balik. 1 jari yang kita tundingkan jari pada kesalahan orang lain dulu, selebihnya semua berbalik pada kita pada ketika itu.

0 comments:

 
Minima Glass Blogger Template by Competitions World | Originally Minima Template by Douglas Bowman