Thursday, August 6, 2009

Oh! Nisfu Sya'ban

"Esok ke malam Nisfu Sya'ban?", tanya saya.

"Haah, esoklah.", jawab teman saya pula.

Tiba-tiba saya kaget. Terus berlari mencari kalendar untuk mengesahkannya.

"Haahlah...", terjawab sudah persoalan saya.

Macam biasalah saban tahun, apabila datangnya malam Nisfu Sya'ban, sudah terbayang di kepala saya kemeriahan penduduk taman ke surau untuk menghidupkan malam tersebut. Selepas solat Maghrib, para jemaah membaca surah Yasin dan kemudian bersolat sunat.

Apa yang merisaukan saya, seringkali amalan-amalan khusus dicipta lalu diselitkan fadhilat beramal padanya yang entah dari mana nas-nasnya, kemudian disebarkan melalui SMS, YM, emel dan dalam apa jua bentuk kepada sesiapa sahaja. Maka mereka yang menerima hal seperti ini terus saja menerima tanpa mengkaji kesahihannya terlebih dahulu. Yang paling membimbangkan adalah apabila sampai ke suatu tahap, di mana terbentuknya 1 kelompok manusia yang beramal padanya dengan menyangkakan amalan tersebut disandarkan kepada Nabi s.a.w.

Yang sebenarnya, tiada hadith sahih mengenai amalan-amalan khusus malam Nisfu Sya'ban seperti sembahyang sunat yang khas, membaca surah tertentu seperti Yasin atau doa-doa tertentu. Ada pun, kebanyakannya hadith-hadith tersebut adalah lemah dan palsu Antaranya ialah:

Hadith Tentang Kelebihan Menghidupkan Malam Nisfu Sya'ban

Hadith yang diriwayatkan daripada Ali r.a: Apabila tiba malam Nisfu Sya'ban, maka bangunlah kamu (menghidupkannya dengan ibadah) pada waktu malam dan berpuasalah kamu pada siangnya kerana sesungguhnya Allah akan turun ke langit dunia pada hari ini bermulanya terbenamnya matahari dan berfirman: Adakah sesiapa yang memohon ampun daripada-Ku akan Ku ampunkannya. Adakah sesiapa yang memohon rezeki daripada-Ku akan Ku kurniakan rezeki kepadanya. Adakah sesiapa sakit yang meminta penyembuhan akan Ku sembuhkannya. Adakah ada sesiapa yang meminta daripada-Ku akan Ku berikan kepadanya, dan adakah begini, adakah begitu dan berlakulah hal ini sehingga terbit fajarnya.
(Hadith ini adalah palsu, driwayatkan oleh Ibn Majah dan Al-Baihaqi di dalam Syu'ab al-Iman. Rujuk Dhaifah al-Jami' dan Silsilah al-Dhaifah oleh Albani, Dhaif Ibn Majah)
Diriwayatkan daripada Ibn Umar r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Barang siapa yang membaca 1000 kali surah Al-Ikhlas, dalam 100 rakaat solat pada malam Nisfu Sya'ban, ia tidak keluar dari dunia (mati) sehinggalah Allah mengutuskan dalam tidurnya 100 malaikat, 30 daripada mereka mengkhabarkan syurga baginya, 30 lagi menyelamatkannya daripada neraka, 30 pulih yang lain mengawalnya daripada melakukan kesalahan dan 10 lagi akan mencegah orang yang memusuhinya
(Hadith ini menurut Al-Jauzi adalah palsu. Rujuk Ibn Al-Jauzi, al-Maudhu'at, Dar al-Fikr. Imam Daruqutni pula meriwayatkan hadith ini daripada Muhammad bin Abdun al-Samarkandi dan dia mengatakan bahawa Muhammad adalah seorang pendusta dan pembuat hadith. Imam al-Zahabi juga mengatakan Muhammad bin Abdun terkenal sebagai pembuat hadith)

Al-Hafiz Iraqi berkata: Hadith tentang solat pada malam Nisfu Sya'ban adalah lemah dan direka cipta, lalu disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. Hal ini juga disebut oleh Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu':
Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaib iaitu solat sebanyak 12 rakaat, dikerjakan antara Maghrib dan Isyak pada malam Jumaat pertama bulan Rejab dan solat sunat pada malam Nisfu Sya'ban sebanyak 100 rakaat adalah 2 jenis solat yang bid'ah (perkara yang diada-adakan dalam agama)
(Rujuk: Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al- Tahzir min al-Bida' cetakan ke-3)

Kelebihan Puasa Yang Khas Pada Hari Nisfu Sya'ban

Berhubung dengan amalan puasa yang khas pada Nisfu Sya'ban, tidak terdapat hadith sahih yang menjelaskan perkara ini, yang ada pun cuma hadith yang lemah. Berpuasa semata-mata pada Nisfu Sya'ban sahaja dengan menganggap ia adalah amalan yang Nabi s.a.w adalah dilarang. Jika seseorang itu berpuasa berdasarkan amalan Nabi s.a.w yang memperbanyakkan berpuasa pada bulan Sya'ban dan termasuk di dalamnya hari Nisfu Sya'ban, maka inilah amalan yang digalakkan. Begitu juga jika seseorang itu berpuasa sunat pada Hari Isnin dan Khamis lalu hari tersebut jatuh pada Nisfu Sya'ban.

Hadith Tentang Amalan Angkat Diangkat Pada Malam Nisfu Sya'ban

Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa segala amalan manusia akan diangkat pada malam Nisfu Sya'ban. Lalu kebanyakan umat Islam akan menghidupkan malam ini dengan bacaan surah-surah tertentu (seperti Yasin) dengan niat supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan ditetapkan iman. Pendapat ini adalah tidak tepat dan tiada hadith-hadith sahih menjelaskan.
....................................................................................................................................

Syiekh Dr. Yusuf al-Qardhawi menyatakan di dalam fatwanya tentang malam Nisfu Sya'ban:

Tidak terdapat hadith-hadith yang bermartabat sahih mengenainya, kecuali hadith yang bermartabat hasan (bersifat seperti hadith sahih tetapi perawinya tidak mempunyai ingatan yang kuat) di sisi sebahagian ulama, dan terdapat juga ulama yang menolaknya dan mengatakan bahawa tidak terdapat hadith sahih tentang malam Nisfu Sya'ban.

Sekiranya kita berpegang bahawa hadith tersebut berada di martabat hasan, maka apa yang disebut dalam hadith Rasulullah s.a.w ialah hanya disuruh BERDOA DAN BERISTIGHFAR pada malamnya, tidak disebut sebarang DOA YANG KHUSUS yang Rasulullah s.a.w anjurkan.

Terdapat juga di sesetengah negara di mana mereka berkumpul selepas solat Maghrib di masjid-masjid dan membaca surah Yasin . Selepas itu mereka solat 2 rakaat dengan niat agar dipanjangkan umur, kemudian 2 rakaat lagi agar mereka kaya (tidak bergantung lagi dengan manusia). Sesudahnya solat, mereka membaca doa seperti mana yang ada di dalam buku panduan doa yang dicetak dan diedarkan yang sebenarnya tidak ada pun daripada hadith-hadith sahih.

Contoh doa yang terdapat di dalam buku panduan doa (terdapat pelbagai versi terjemahannya, tetapi pada dasarnya adalah sama):
"Ya Allah! Andainya telah ditakdirkan disisi-Mu akan aku dalam kitab azali bahawa aku celaka dan diharamkan akan aku, terusir atau sedikit rezeki, maka hapuskanlah dengan kemurahan-Mu kecelakaanku, sedikit rezeki dan terusir itu. Dan tetapkanlah disisi-Mu dalam azali itu dengan kebahagiaan dan beroleh rezeki yang dipergunakan kepada kebaikan. Sesungguhnya Engkau telah berfirman dan firman-Mu adalah benar sebagaimana dalam Kitab-Mu yang Engkau turunkan atas lidah Nabi-Mu (Muhammad): Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki atau ditetapkannya dan disisi-Nya kitab azali."
Daripada doa ini, saya akan datangkan hujah-hujah untuk menunjukkan kepada anda bahawa doa ini telah dicipta oleh seseorang, bukannya daripada Rasulullah s.a.w:

1. Dalam doa ini, dapat kita lihat 2 pertentangan yang jelas pada awal doa, "Ya Allah! Andainya telah ditakdirkan...maka hapuskanlah..." dan akhir doa, "Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki atau ditetapkannya dan disisi-Nya kitab azali.

Perlu anda jelas bahawa pada akhir doa tersebut adalah firman Allah dalam surah Ar-Ra'ad, ayat ke 39.
"Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki atau ditetapkannya dan disisi-Nya kitab azali."
(terjemahan Ar-Ra'ad:39)
Ayat ini menjelaskan bahawa kitab azali tidak boleh dihapuskan dan ditetapkan. Jadi bagaimana seorang hamba yang hina boleh memohon agar dihapuskan dan ditetapkan di dalam kitab azali sedangkan ia tidak boleh dihapuskan dan ditetapkan?

2. Doa yang baik adalah bersumberkan nas-nas yang sahih (Al-Quran dan As-Sunnah) kerana lebih indah dan baik penyampaiannya, merangkumi dengan kata-kata yang sedikit. Tiada yang lebih baik dari doa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

Berdasarkan hujah yang saya datangkan, jelaslah bahawa doa Nisfu Sya'ban itu adalah ciptaan seseorang, bukannya daripada Rasulullah s.a.w kerana kelemahan-kelemahan doa itu sendiri. Jikalau doa tersebut bersumberkan daripada Rasulullah s.a.w, adalah mustahil kelemahan seperti itu dilakukan oleh Rasulullah s.a.w kerana ia menjatuhkan martabat baginda sebagai seorang rasul utusan Allah.

Kesimpulannya


Demikianlah beberapa perkara yang ingin saya bincangkan mengenai Nisfu Sya'ban ini. Semoga melalui beberapa hadith yang didatangkan berserta pendapat para ulama, jelaslah kepada anda tentang martabat hadith-hadith tersebut dikalangan ulama hadith.

Adalah lebih baik kita beribadat sebagaimana yang Rasulullah s.a.w lakukan, begitu juga dengan para sahabat dan mereka selepasnya. Cukuplah apa yang telah dicontohkan oleh Nabi s.a.w kerana sebaik-baik contoh adalah daripada baginda.
....................................................................................................................................

PEMBETULAN
Walaubagaimanapun, Al-Albani telah mensahihkan hadith ini dalam Silsilah Al-Ahadith Al-Sahihah (jilid 3, m.s 135, Riyadh: Maktabah Al-Ma'arf)
Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Sya'ban, maka Dia ampuni semua hamba-hamba-Nya kecuali musyrik (orang syirik) dan orang yang bermusuh (orang benci membenci.
(HR Ibn Hibban, Al-Bazzar dan lain-lain)
Berdasarkan hadith ini, cukuplah bagi kita mempertingkatkan amalan harian kita (qiamullail) pada malam tersebut seperti mana yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. Tidak perlulah dikhususkan bentuk-bentuk amalan tertentu seperti membaca surah Yasin serta doa-doa dan zikir-zikir tertentu.


3 comments:

Tendou Sani said...

buatlah ibadah bila2 masa pun xyah dok nnt hari2 tertentu...biar sikit amalan yg kita buat tapi istiqamah dlm beramal...insyaAllah...

Anonymous said...

bagus2..aku pon xpernah terbaca tentang hadis2 mengenai perkara ini..so byk la information aku dpt.weh klu ko contact ckg marzuki ko kim slm kat dia la..ko kate nk jmp diakn..k good job bro..basim

Qalam (pena) said...

testing

 
Minima Glass Blogger Template by Competitions World | Originally Minima Template by Douglas Bowman