Tuesday, September 1, 2009

Kami Tolak Hudud

"Makan sup tanganlah gamaknya"

"Silap-silap boleh dapat sup kaki kalau pencuri itu berdegil lagi"

"Batu dekat jalan pun habis orang buat rejam penzina"

Itulah suara sinis yang kedengaran. Yang hairannya suara sinis itu datangnya daripada umat Islam sendiri. Belum pun terlaksana pelbagai spekulasi telah dibuat. Walhal hukuman hudud bukanlah digubal oleh manusia untuk kita persoalkan tetapi Allah dan Rasul-Nya jua.

Sebelum anda berhenti membaca kerana sama ada

Anda sudah sedia maklum mengetahui hudud

Atau tak nak pun mengetahui hudud, suka saya sekiranya anda fahami dulu bahawa

SUSAHNYA HUKUMAN HUDUD HENDAK DIJATUHKAN KEPADA INDIVIDU

Bukan senang-senang boleh dijatuhkan hukuman hudud seperti sesetengah pihak yang semua tangan orang nak ditebasnya, semua badan orang nak dilibasnya. Patutlah sesetengah pihak yang lain menolak hudud apabila baru sahaja dimanifestokan. Kalau ada yang berkata kepada saya hudud adalah kejam hukumannya, saya kata

"Benar"

"Tak salah"

Tapi mari kita lihat dulu cara pelaksanaan hukuman yang kejam ini, yang belum lagi terlaksana tetapi sudah pun digeruni pelaksanaannya:

1. Pendakwa perlu membawa jumlah saksi yang tertentu.

2. Jikalau syarat saksi tidak memadai, pendakwa sendiri akan dikenakan hukuman. Apabila difikirkan balik semestinya orang takut nak buat report sesuka hati walaupun baru setakat memenuhi bilangan saksi untuk mendakwa, belum lagi dilihat dari segi kekonsistenan keterangan saksi.

3. Pada zaman Rasulullah s.a.w pun bukannya maksiat tak pernah terjadi, tapi baginda tak pernah pun buat 'pengintipan pencegahan maksiat' semata-mata untuk menjatuhkan hukuman kepada seseorang seperti mana sekarang.
"Sesungguhnya seseorang penguasa, apabila dia mencari-cari kesalahan rakyatnya, bererti dia merosakkan mereka"
(Sahih Sunan Abu Daud)
Jadi semakin kecillah kebarangkalian seseorang itu untuk dijatuhkan hukuman hudud, Rasulullah s.a.w sendiri pun tidak mencari-cari kesalahan orang lain untuk dilaksanakan hukuman ke atas mereka semata-mata untuk menegakkan hukuman hudud.

4. Tidak dianjurkan orang yang membuat jenayah melaporkan kepada pihak penguasa. Sebaliknya hendaklah dia bertaubat.
"Jauhilah perkara-perkara keji yang telah dilarang oleh Allah. Sesiapa yang melakukannya, hendaklah dia menutupinya dengan tutupan Allah dan bertaubat kepada Allah. Ini kerana jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang diperintahkan oleh Allah 'Azza wa Jalla."
(Dikeluarkan oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi. Al-Hakim berkata: Hadith ini sahih atas syarat-syarat daripada Bukhari dan Muslim tetapi mereka tidak mengeluarkannya.)

Ada suatu kisah di mana ada seseorang mengaku berzina kepada Rasulullah s.a.w. Ketika direjam, akibat tidak tahan kerana sakit, beliau melarikan diri. Lalu salah seorang sahabat mengejarnya dan dipukulnya sehingga mati dengan tulang unta. Kemudian hal ini diceritakan kepada baginda, lalu baginda bertanya:
"Kenapa tidak dibiarkan dia? Mungkin dia bertaubat dan Allah menerima taubatnya"
(Sunan Abu Daud. Sanadnya hasan)
5. Sekiranya seseorang mengetahui berlakunya jenayah secara tertutup, tidak dianjurkan melaporkannya kepada pihak penguasa. Sebaliknya hendaklah dia memberi nasihat secara tertutup. Seperti mana sabda Rasulullah s.a.w:
"Sesiapa yang menutupi (kesalahan) seseorang Muslim, maka Allah menutupinya di dunia dan akhirat."
(Sahih Sunan Ibn Majah)
"Saling memaafkanlah terhadap (jenayah) hudud yang berlaku diantara kamu kerana (sesuatu jenayah) hudud yang sampai kepada aku, maka wajib dikenakannya hukumannya."
(Sahih Sunan Abu Daud)
6. Datangkan keraguan terhadap kes tersebut. Contohnya sama ada individu itu gila atau tidak, memahami atau tidak definisi sesuatu jenayah (contohnya zina) serta tidak salah faham dan keliru agar dapat dielakkan daripada dijatuhkan hudud seperti mana suatu kisah di mana seorang Muslim datang menemui Rasulullah s.a.w di masjid dan berkata:
"Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku telah berzina." Rasulullah lalu berpaling daripada orang tersebut sehingga orang tersebut mengulang-ulangi pengakuannya sebanyak 4 kali. Apabila dia bersaksi ke atas dirinya sebanyak 4 kali lalu Nabi s.a.w memanggilnya dan bertanya: "Adakah engkau gila?" Dia menjawab: "Tidak." "Adakah engkau sudah berkahwin?" Dia menjawab: "Ya." Maka Nabi s.a.w bersabda: "Ambillah dia dan rejamlah dia."

(HR Bukhari)
Dalam riwayat yang lain pula Rasulullah s.a.w bertanya:
"Mungkin engkau hanya mencium atau menyentuhnya atau memandangnya?"
(HR Bukhari)
MANA SILAPNYA?

Jadi, disebalik hukuman fizikal yang kejam ini besar kemungkinan anda telah pun memahami bahawa hudud AMAT SUSAH untuk dijalankan terhadap individu. Cuma disebabkan dakyah-dakyah sebegini

"Eh, ramai lagi orang yang minum arak. Kenapa tak jalankan hudud ke atas mereka?"

"Habislah, penatlah tukang sebat nak menyebat. Berderet nanti yang nak dihadapkan ke muka pengadilan"

"Gila ke? Gelaplah masa depan Si Pencuri, nak cari kerja payahlah nanti. Tengok 'pengenalannya' sahaja sudah diketahui dia tak boleh dipercayai"

Ada pihak-pihak yang kurang memahami hudud

Mentah-mentah ditolaknya. Mereka berpendapat negara akan mengamalkan sistem syariah yang menggerunkan. Tak kurang pula berpendapat apabila dibongkarnya 'cerita-cerita dulu', kebanyakan rakyatnya nanti atau 'barisannya' akan berjalan ke sana sini tanpa tangan dan badan yang berbelang-belang.

Ada juga pihak-pihak yang kurang memahami hudud.

Tetapi mereka beria-ria hendak hudud dilaksanakan. Bagi mereka, negara Islam mestilah menjalankan syariat Islam iaitu negara yang tugasnya adalah menebas tangan serta menyebat penzina dan peminum arak. Tindakan seperti inilah yang akan memberi gambaran buruk terhadap pihak yang kurang memahami. Sekiranya kita mahu mencegah maksiat dan kemungkaran ikutilah apa yang digariskan oleh Rasulullah s.a.w. Jangan kita mempersoalkan keberkesanan dan logiknya kerana kita sendiri sama seperti yang menolak hukum Allah.

Akhirnya hudud yang sebenarnya sejak dari dulu lagi sudah lama dipersoal dan diperbahaskan dijadikan isu untuk menghentam dan mengkritik. Lebih malang lagi hingga sampai ke tahap musuh-bermusuhan dan kafir-mengkafirkan antara umat yang sudah sedia berpecah ini.

Janganlah kita begitu cepat membuat keputusan terhadap kedudukan seseorang itu di akhirat nanti. Kita hanya boleh menilai ini perbuatan dosa, ini perbuatan pahala. Orang ini menzahirkan maksiat, orang ini menzahirkan ibadat. Orang ini menjalankan hukum Allah, orang ini menolak hukum Allah. Cukup sekadar itu sahaja penilaian kita. Tak lebih daripada itu.

Walaupun perbuatan-perbuatan mereka itu boleh diumpamakan seperti mana sifat-sifat orang kafir dan munafiq yang disebutkan Allah dan Rasul-Nya, namun untuk kita menjustifikasikan kedudukan seseorang itu di akhirat seperti

"Oh, dia masuk neraka kerana perbuatannya itu"

"Oh, dia masuk syurga dengan amalannya itu"

Itu bukan urusan kita untuk menetukan. Hanya Allah dan Rasul-Nya saja yang berhak. Siapalah kita untuk menentukan.

TAHU PULA KITA HENDAK MENJATUHKAN HUKUMAN SEKEJAM-KEJAMNYA TERHADA PESALAH LAKU APABILA...

Nasib seorang isteri dihentak kepalanya dengan bata dan dicederakan dengan pisau oleh suaminya yang mabuk klik sini

Adik iparnya yang mabuk membunuh suaminya dan menyebabkan si isteri terpaksa menyara tiga orang anaknya klik sini

Kebinatangan seorang bapa menjadikan keempat-empat anaknya sebagai pemuas nafsu sejak 16 tahun yang lalu! klik sini

Seorang bapa tiri merogol seorang remaja berusia 15 tahun. Lebih malang lagi mangsa ditikam dan disimbah asid. klik sini

Kesemua mangsa tersebut adalah wanita

Wanita menjadi mangsa lelaki yang mabuk dan bernafsu binatang

Wanita mahukan keadilan sewajarnya, setaraf dengan kesalahan yang dilakukan dengan hukuman yang dijatuhkan. Bukan hukuman konvensional yang berbentuk hukuman penjara dan denda ribuan ringgit terhadap pesalah laku seperti mana yang dijalankan di negara kita

Bukankah wanita mahukan pembelaan dan keadilan dalam segala hal? Memperjuangkan kesamarataan, kedudukan, kelebihan dan kemuliaan wanita Muslim dalam segala apa yang lelaki dominasi berkurun dulu?

Malah ada sampai mempersoalkan keprejudisan mereka terhadap tafsir Al-Quran dan hadith kerana yang ahli-ahli dalam kedua-duanya semuanya lelaki.

Apabila ada wanita yang mempunyai kesedaran yang cukup tinggi dan mahu dijalankan hukuman kejam ini kepadanya secara sukarela serta dijadikan contoh kepada masyarakat, ramai yang mempersoalkan.

Hairannya, kini mana perginya keadilan yang diperjuangkan itu?

HIKMAH DI SEBALIK HUKUMAN KEJAM INI

Hudud ialah hukuman yang telah ditetapkan sendiri bentuk dan kadarnya oleh Allah dan Rasul-Nya. Tak kira pangkat, keturunan dan kekayaan, semua pesalah laku adalah berkedudukan sama rata dihadapan hudud, 1 hukuman yang tidak boleh dijual beli untuk melepaskan diri.
"Sesungguhnya orang-orang sebelum kalian musnah, tidak lain kerana mengenakan hukuman hudud ke atas seseorang miskin dan mengecualikan yang mulia. Demi jiwaku yang berada di Tangan-Nya, seandainya Fatimah (anak baginda) melakukan kesalahan sedemikian (mencuri), pasti akan potong tangannya jua."

(HR Bukhari)
Tetapi hudud tidaklah disama ratakan kepada setiap pesalah laku yang mempunyai tahap fizikal yang berbeza-beza. Hukuman yang kejam ini masih lagi boleh bertoleransi seperti mana pada zaman Nabi s.a.w pernah seorang yang kecil lagi lemah melakukan zina. Lalu perkara ini dihadapkan kepada Rasulullah s.a.w
"Wahai Rasulullah! Sesungguhnya dia amat lemah untuk menerima hukuman tersebut sehingga jikalau kami menyebatnya sebanyak seratus kali, nescaya kami akan membunuhnya." Rasulullah s.a.w menjawab: "Ambillah tangkai kurma yang ada seratus ranting padanya dan sebatlah dia dengan sekali sebatan sahaja. Setelah itu bebaskanlah dia."
(Dikeluarkan oleh Ahmad dan dinilai sahih oleh Syu'aib al-Arna'uth dan rakan-rakannya dalam semakan mereka atas Musnad Ahmad)

Hukuman yang zalim dan tak berperikemanusiaan ini awal-awal lagi sudah digeruni. Malah ia cukup memberi kesan kepada pesalah laku yang menjalani hukuman ini sehingga 'trauma'. 'Trauma' yang membuatkan pesalah laku mewujudkan tembok pemisah antara dia dengan kesalahan lampau hinggakan tidak memungkinkan dia untuk kembali melakukannya lagi.

Tanyalah barisan pakar perundangan negara kita, berapa ramai penjenayah keluar masuk penjara? Berapa lama tempoh penjenayah yang baru sahaja keluar penjara masuk balik penjara? Berapa juta yang diperuntukkan negara untuk kos penjagaan penjara dan banduan di Malaysia? Tanyalah mereka hukuman apa lagi yang mampu menyelesaikan masalah jenayah di negara kita.

ALANGKAH BAIKNYA...

Yang arif memahamkan kepada yang kurang memahami dengan penuh hikmah dan kesabaran. Bertolenrasilah dengan mereka. Jangan begitu cepat menyerang, menghentam dan menghukum seseorang atas perbuatan mereka kerana tindakan kita yang terburu-buru itu hanya akan mebuatkan mereka menutup rapat telinga walaupun diakui ada juga benarnya. Tetapi kerana kita awal-awal lagi sudah menggoyah kredibiliti yang mereka ada, secara spontan mereka akan membela diri sendiri sama ada berada dalam bentuk

Berlindung dengan makin merapatkan telinga dan membutakan hati atau

Membela diri dengan apa saja ada walaupun dengan berkata yang mereka sendiri tahu seperti menegakkan benang yang basah

Jikalau mereka terus ego mempertahankan pandangan mereka, itu urusan mereka. Allah Maha Adil lagi Maha Mengetahui. Kita pula perbaikilah cara kita berdakwah. Janganlah kerana baru 1 langkah kita ambil, kita disempitkan dengan merasakan langkah itulah langkah yang pertama dan terakhir untuk berjaya membuat mereka menerima. Lalu apabila tak diterima dan tak tercapai objektif terus kita mati akal dan dengan cepat kita menghukum individu tersebut.

Yang kurang memahami pula lihatlah sesuatu itu dari sudut positif. Tak kiralah sesuatu yang datang itu dalam bentuk buruk, lapangkanlah dada untuk menerimanya. Janganlah terlalu cepat melenting dan menyemarakkan lagi api yang sedia dinyalakan. Bersabarlah, jangan kerana maruah dan status kita yang tak boleh dijentik kita curah pula minyak tanah pada api yang sudah sedia marak.

Walaupun kita sememangnya sudah sedia berpecah-belah dan berbeza perjuangan, tetapi janganlah kita saling bermusuhan. Sebaiknya kita manfaatkanlah perpecahan dan perbezaan itu untuk saling membaiki kelemahan masing-masing, bukan saling menjatuhkan.

2 comments:

Qalam (pena) said...

maaf skirenye de prkataan2 sy y mnyentuh sensitiviti mane2 pihak, lg2 prktaan 'barisan' y boleh dmksudkn kpd ssbuah parti. sy bru mnyedari hal ni, ssungguhnya sy hmba y lmh dn lalai

Tendou Sani said...

testing2...1 2 3

 
Minima Glass Blogger Template by Competitions World | Originally Minima Template by Douglas Bowman