Monday, October 19, 2009

Bijak Mengumpul, Bijaklah Pula Membahagikannya

Alhamdulillah, saban tahun saya dapat lihat adanya peningkatan jumlah pengumpulan zakat yang diperolehi disiarkan di kaca TV dan di dada-dada akhbar. Perkara ini amatlah patut dibanggakan. Ini menunjukkan semakin tingginya kesedaran ummah kita dalam menunaikan 1 daripada Rukun Islam ini. Tambahan pula pelbagai program dan kempen telah diadakan oleh badan-badan tertentu demi menggalakkan saudara-saudara kita mengeluarkan zakat. Tahniah kepada pihak-pihak yang menguruskan zakat kerana sememangnya usaha mereka patut dipuji dan dihargai.



Walaubagaimanapun apabila kita mendengar dan menonton kisah-kisah kemiskinan dan penderitaan yang dipaparkan oleh pelbagai media di negara kita amatlah menyayatkan hati. Lebih menyayatkan hati apabila saudara-saudara seagama kita sendiri yang kebanyakannya mengisi kelompok tersebut. Hal ini amatlah menghairankan. Sedangkan Islam itu sendiri telah sedia ada 1 institusi ekonomi yang memang tidak ada pada agama-agama lain iaitu zakat yang memang diwajibkan kepada penganutnya yang berkemampuan untuk membantu golongan yang berhak menerima zakat.

Mana perginya hasil pengumpulan zakat?

Kenapa boleh terjadinya lebihan zakat, sedangkan fakir miskin masih wujud?

Ini belum lagi diceritakan pelajar-pelajar yang hidupnya susah serta memerlukan bantuan untuk membantu pembelajarannya.

MENGAPA INI TERJADI?

Setiap tahun pihak-pihak yang menguruskan zakat mengumumkan lebihan zakat yang berjumlah puluhan ribu bahkan ada yang sampai mencecah jutaan ringgit. Jumlah lebihan zakat yang banyak ini bukanlah suatu angka untuk dibanggakan kerana ia bukanlah semata-mata menunjukkan bahawa ramai saudara-saudara kita sudah mula sedar akan tanggungjawab berzakat tetapi menggambarkan juga kelemahan institusi zakat dalam mengagihkan hasilnya.

Tak mengapa jika zakat masih lagi berlebihan apabila semua asnaf sudah habis diberikan. Akan tetapi apabila masih ada lagi program-program realiti yang memaparkan kisah derita kemiskinan saudara kita, saya merasakan 1 pukulan perit terhadap agama kita lebih-lebih lagi terhadap institusi zakat kita. Sememangnya mereka lebih mendahului usaha mencari dan menghulurkan bantuan berbanding institusi zakat kita. Lebih memalukan lagi apabila badan-badan kebajikan bukan Islam lebih banyak menghulurkan bantuan daripada badan-badan kebajikan kita.


Sememangnya tak perlu lagi kita hairankan apabila

Kita bising dan tak tentu arah jari kita menuding pihak-pihak lain apabila saudara-saudara baru kita yang baru saja memeluk Islam kembali semula kepada agama asalnya.

Kita bising dan tak tentu arah jari kita menuding pihak-pihak lain apabila ada saudara kita yang sememangnya lahir sebagai Islam akhirnya murtad kerana desakan hidup.

Kita juga bising dan tak tentu arah jari kita menuding pihak-pihak lain apabila makin ramainya muda-mudi kita berzina.

Tetapi mengapa tak pula kita sesekali menuding jari ke arah diri sendiri dan bertanya pada diri kita, 'Mengapa Ini terjadi?'

Seringkali kita dengar adanya persatuan atau gerakan tertentu yang menyuntik wang pada orang ramai lebih-lebih lagi yang kesempitan hidupnya supaya dapat dipujuk hatinya. Lalu terkeluarlah kisah-kisah murtadnya saudara seagama kita akibat termakan budi dan lebih senang mengorbankan pegangan agama serta terus menagih bantuan daripada mereka.

Begitu juga dengan pasangan yang sudah boleh berkahwin tetapi akhirnya lebih cenderung untuk berzina disebabkan faktor kewangan. Bukannya mereka tidak mampu untuk menyara hidup pasangan mereka selepas berkahwin, tetapi kos perkahwinannya yang menjadi penghalang. Padahal mereka berhak mendapat zakat di bawah peruntukan miskin sebagaimana dilakukan pada zaman 'Umar bin 'Abdul al-Aziz
"Seseiapa dikalangan orang yang miskin, yang berhutang dan yang ingin yang berkahwin sila dapatkan peruntukan daripada Baitul Mal."

YANG SUSAH, LAGI DISUSAHKAN


Seingat saya, majalah Mastika pada keluaran beberapa tahun yang lepas ada menyiarkan mengenai pengurusan pengagihan zakat oleh institusi zakat. Apabila saya membacanya, agak terkilan saya dengan cara kerja pihak pengurusan zakat yang lebih kepada menunggu, bukannya mencari. Dan sepatutnya mereka juga tidak perlu terlalu sangat bergantung kepada borang permohonan.

Bayangkanlah 'Si Miskin' dan 'pak cik mak cik' yang ingin memohon zakat dibebankan lagi dengan usaha penat lelah mereka dan modal yang dikeluarkan untuk ke pusat zakat. Bertambah membebankan lagi apabila 'mak cik pak cik' ini terpaksa mengisi borang yang kadang-kadang ada dalam kalangan mereka yang buta huruf ataupun tak memahami kehendak borang.

Walaupun sudah dapat wang zakat tapi setakat beberapa ratus ringgit yang hanya cukup-cukup untuk sebulan ataupun setengah bulan sahaja. Kemudian terpaksalah mereka menunggu lagi pada yang seterusnya pula. Sepatutnya zakat diberikan dengan kadar yang dapat mengeluarkan 'Si Miskin' daripada kemiskinan sebagaimana kata-kata Saidina 'Umar r.a.
"Apabila engkau memberi zakat, kayakanlah mereka."

Kadang-kadang kita menyangka yang mereka itu malas berusaha dan hanya berharap pada wang zakat. Itu sekadar sangkaan kita. Kita sepatutnya juga boleh berfikir, dengan jumlah wang zakat yang tak membawa keluar daripada kemiskinan itu menyebabkan mereka terpaksa berterusan bergantung kepada wang zakat. Setakat wang beberapa ratus yang diberi itu sekejap saja habis dibelanjakan. Jadi, tiada anjakan taraf hidup yang mereka dapat lakukan walaupun mereka sememangnya bekerja untuk menyara hidup.

BUKAN SEKADAR BIJAK MENGUMPUL

Memang tak dinafikan lagi, boleh dikatakan hampir berjaya mencapai objektif program-program yang dilancarkan oleh institusi zakat dalam menyedarkan masyarakat berzakat dan menggalakkan generasi muda turut sama berzakat . Walaubagaimanapun ada juga sedikit kekurangan yang saya rasa pihak pengurusan zakat perlu mengambil kira dalam membantu saudara-saudara kita.

Bagi saya, usaha mencari adalah lebih penting daripada menunggu hasil zakat itu dipohon. Ini kerana Islam sendiri menyukai budaya mencari untuk memberi, bukannya meminta-minta. Saya tahu adalah tak mudah untuk mencari orang miskin tetapi tak susah juga untuk berjumpa orang yang sekadar senang atau kaya. Kita sendiri boleh kenal ciri-ciri orang miskin. Bahkan, orang miskin yang tak meminta-minta itu adalah lebih afdhal untuk diberi zakat.
"Pemberian sedekah itu ialah bagi orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka Bumi, mereka itu disangka orang kaya oleh orang yang tidak mengetahui halnya kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta orang ramai dengan mendesak-desak. Dan ketahuilah, apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya."

(terjemahan al-Baqarah: 273)

Hasil zakat kita juga terlalu tertumpu pada bidang agama. Mungkin kita sudah ramai yang ahli dalam bidang agama. Tetapi bidang-bidang yang bukan bidang agama seperti perubatan, teknologi, ekonomi dan lain-lain adalah tak patut kurang atau tak diberi perhatian, sedangkan kita sendiri kekurangan tenaga pakar dalam hal demikian.

Mungkin kerana kurangnya pemahaman mengenai apa yang dikatakan 'fi sabii lillah' (berjuang di jalan Allah) yang merupakan salah 1 daripada golongan asnaf, lalu fokus kita hanya tertumpu pada bidang agama. Walhal ilmu yang dituntut tidaklah terhad pada ilmu agama semata-mata dan bukan ilmu agama sahaja yang dikatakan 'fi sabii lillah' bahkan segala apa ilmu yang bermanfaat seperti kesihatan, persenjataan dan teknologi. Itu semua dikira fardhu kifayah.

Mungkin kita berpendapat bahawa terlepasnya sudah kewajipan fardhu kifayah itu terhadap setiap mukallaf kerana adanya sebahagian umat Islam yang lain sudah menguasai bidang-bidang tersebut. Walhal kita sendiri sudah sedia maklum bahawa penguasaan umat Islam dalam bidang tersebut berada pada tahap kritikal. Jadi, bagaimana umat Islam mahu survival? Adakah kerana salah 1 daripada hal yang kita terlepas pandang ini membuatkan martabat Islam diinjak-injak oleh musuh-musuh Allah?


BERAMANAH LAGI BIJAK MEMBAHAGI

Apa yang boleh saya katakan, beramanahlah dalam menguruskan wang zakat. Bukan mahu menuduh, tapi sekadar nasihat yang tulus ikhlas pada mana-mana pihak yang berkaitan. Kita pandai berkata musuh-musuh Allah yang cuba menghancurkan Islam, tetapi sebenarnya hancurnya Islam akibat perbuatan kita sendiri.

Bagi kita yang mungkin suatu hari nanti akan menjadi pelapis pada mana-mana institusi lebih-lebih lagi dalam bidang agama, mungkin tulisan ini akan jadi inspirasi diri dalam membijaksanakan pengurusan zakat dan meluaskan pemahaman kita mengenainya. Boleh jadi juga tulisan ini akan disampaikan pada saudara-saudara atau kawan-kawan kita yang bekerja di institusi zakat supaya pengurusan zakat kita dapat diperbaiki. Sekiranya kurang berjaya, kita yang sebagai pelapis inilah suatu hari nanti akan mengisi kekosongan jawatan tersebut dan memperbaiki sedikit kekurangan institusi zakat kita.

Lapangkanlah dada kita dengan mengambil nasihat ini sebagai 1 daripada banyak lagi usaha yang perlu kita mulakan sebagai langkah pertama kita dalam memperkasakan kembali Islam yang kini makin diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh Allah.

3 comments:

dak comel said...

rase cm saket ati plak bace bnde alah ni..bkn pe, rase cm nk mrh je kt pihak yang x bertanggungjawab 2..hehe

Tendou Sani said...

baru ja pas baca sal isu murtad dr emel yg kwn bg...terkejut! iu yg boleh kata...sama2 la kita jaga akidah kita, dan amar makruf nahi mungkar...btui...kadang kita ingat kita kena ada ilmu yg byk utk mengajar org...x perlu...tapi sekurang2nya mengingatkan...itu yg penting! huhu

Muhammad Nasa'i Asa said...

dak comel: bgsla awk mrh. gunalah kemarahan itu sebagai kekuatan untuk memberanikan diri kita mengingatkan mereka. apa2 pun, teguran ini langsung tak boleh nak dibandingkan dengan usaha mereka selama ini. cuma kita sememangnya mahukan keekfisien kerja mereka yang perlu diperbaiki sedikit.

Tedou Sani: Lama da ko tak bagi komen kat sini. betullah kata ko, tak semetisnya perlukan ilmu yang banyak untuk mengajar orang dalam mengingatkan antara kita. kalau macam tu, semua orang susahlah nak makan saman. tapi ada perlu juga ilmu yang banyak untuk dalam mengingatkan supaya apa yang kita sampaikan itu benar.

 
Minima Glass Blogger Template by Competitions World | Originally Minima Template by Douglas Bowman