Tuesday, November 10, 2009

Semoga Pak Lang Sihat

Akhirnya sampai juga tren yang ditunggu. Letih, mengantuk dan sakit kepala mula datang menghinggap. Kekerapan penangguhan perjalanan tren ke Shah Alam selalu membuatkan saya agak tertekan. Walaubagaimanapun disabarkan juga hati menghadapinya kerana masih ada setahun lagi saya akan melalui hari-hari yang sebegitu.


Berita baiknya tamat juga midterm exam.

Tiba-tiba teringat pula janji saya kepada Mak Lang semalam semasa beliau menelefon saya.

"Sya'i, esok Sya'i ada apa-apa tak? Mak Lang nak mintak tolong mandikan Pak Lang esok. Dah seminggu Pak Lang tak mandi lepas keluar hospital minggu lepas. Mak Lang cuma bersihkan dia dengan kain basah je."

Saya terdiam. Rasa untuk bertanggungjawab dan simpati menyelinap apabila mengenangkan mereka hanya tinggal berdua sahaja kerana ketiadaan zuriat. Usia mereka juga yang sudah hampir memasuki 60-an kerap pula keduanya jatuh sakit. Tambahan pula saya dianggap sebagai anak mereka dalam ramai-ramai anak buah kerana sejak usia saya 3 tahun sudah dibela oleh mereka sewaktu keluarga saya agak sudah ketika itu.

"Insya-Allah, Sya'i datang esok eh," perbualan kami ditamatkan.

MAHUKAN KEBAIKAN? HADAPILAH UJIAN

"Pak Lang masuk hospital?" tanya saya kepada Umi.

Umi mengiyakan dan menyuruh saya bersiap melawatnya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada malam itu juga. Inilah kali pertama Pak Lang ditahan wad akibat kencing manis yang dihadapinya. Akhirnya apa yang saya bimbangkan selama ini terjadi juga.

Sewaktu perjalanan ke sana, saya teringat kembali keadaan saya apabila dimasukkan ke hospital ketika saya berumur 9 tahun. Ini adalah gara-gara pankreas saya bengkak akibat kemalangan dengan sebuah van semasa berbasikal. Lalu saya melambung dan terjatuh ke atas handle basikal yang sedia menegak terpacak.

Akibat daripada impak tersebut membuatkan saya langsung tak dapat bernafas! Tiba-tiba hati saya diselubungi ketakutan. Pada saat itu hanya 'mati' saja yang dapat saya fikirkan. Entah dari mana orang datang mengelilingi saya menyuruh saya mengucap tetapi saya hanya boleh tercungap-cungap kelemasan. Seketika kemudian barulah saya dapat bernafas. Namun ketakutan masih lagi menyelubungi hati saya.

Kemudian saya dimasukkan ke hospital dan ditahan untuk dilakukan rawatan lanjutan. Pelbagai wayar dan tiub dicucuk di badan saya, begitu juga dengan hidung saya untuk menyedut keluar cecair berlebihan di dalam perut akibat pembengkakan pankreas saya.

Pada malamnya saya akan mencabut semua wayar dan tiub pada badan. Hampir setiap malam itulah kerja saya apabila terjaga. Tetapi elok pula jururawat tak mengesyaki itu adalah perbuatan sengaja saya sendiri. Mungkin disangkakan kelasakan tidur seorang budak.

Saya yang masih lagi budak hingusan ketika itu hanya mengenal perkataan 'derita' menurut apa yang saya lalui ketika itu. Saya juga 'menderita' melihat orang di sekeliling saya selama ini bersedih.

"Apa jenis musibahlah yang menimpa," saya merungut seorang diri ketika itu.


DIZIARAHI

Kelihatan Cikgu Puziah dalam keadaan samar-samar. Saya sendiri tak dapat bezakan antara khayalan dan realiti kerana sepanjang siang dan hampir keseluruhan malam saya akan tidur.

Tengah-tengah malamlah baru saya terjaga. Saya lihat rak di sebelah katil. Terdapat beberapa hadiah yang saya sendiri tak tahu daripada siapa. Tiba-tiba saya teringat kehadiran Cikgu Puziah pada tengah harinya. Cikgu Puziah termasuk dalam list cikgu yang garang dan saya geruni.

"Mungkin ada antaranya yang cikgu beri," bisik hati saya.

Hati saya terharu. Terasa begitu semangat untuk segera sembuh. Nak balik rumah tinggal dengan Ayah dan Umi. Nak pergi sekolah jumpa kawan-kawan dan cikgu-cikgu, rindu! Saya bukanlah seorang yang menonjol dan tak ramai pula kenalan yang ada. Walaubagaimanapun apabila ditimpa ujian sebegini membuatkan saya tersedar akan kehadiran saya pada mereka.

Rupanya selain daripada keluarga, ada juga insan yang lain mengambil berat akan diri ini.

Melihat kesunyian hospital ditambah pula dengan cerita-cerita seram yang ditonton memaksa saya untuk terus memejam mata supaya kembali tidur.

MENZIARAHI


Sampai juga di HKL. Apabila masuk saja di pintu utama bangunan itu bau hospital menerjah masuk hidung. Entah mengapa sendi-sendi saya lemah serta-merta. Seram sejuk saya dibuatnya. Kenangan ketika dimasukkan ke hospital dulu bermain-main di fikiran. Sebolehnya saya tak mahu lagi mengingatinya. Fobia!

Kami sekeluarga terus ke tingkat 16 di mana Pak Lang dirawat. Apabila sampai kelihatan Pak Lang sudah pun tidur, yang ada cuma Mak Lang menunggu di sisi. Keadaan Pak Lang tidaklah sampai ke tahap kritikal sehingga terpaksa dipotong kakinya bagi menegelakkan jangkitan, cuma perlu dijaga supaya tak mengalami apa-apa luka dan kecederaan saja.

Sementara menunggu Ayah dan Umi berbual-bual dengan Mak Lang, saya pergi meninjau dari bilik ke bilik pesakit. Makin lemah untuk melangkah dari bilik ke bilik. Sedih, sayu, dan simpati melihat suasana sebegini.

Sememangnya bertuah pekerja-pekerja di hospital. Setiap hari mereka dapat menziarahi pesakit-pesakit yang sedang menghadapi dugaan daripada Allah. Dapatlah mereka lebih beringat akan kematian dan masa sihat mereka. Lantas kesedaran mereka dapat dikekalkan untuk mengelakkan diri daripada melanggar perintah Allah. Cemburu pula kepada kawan-kawan saya yang kini sedang bergelut dalam jurusan perubatan.

BERHARAP

Apa yang saya dapat lakukan adalah menggantungkan harapan kepada-Nya. Alahamdulillah, Pak Lang nampaknya sudah sihat dan kini beliau boleh menggunakan kerusi roda untuk bergerak. Kedatangan saya rasanya menggembirakannya apabila Mak Lang memberitahu selera Pak Lang bertambah pula hari ini apabila dua kali meminta untuk ditambah nasi.

Walaupun Pak Lang begitu garang kepada saya semasa saya masih kecil dan suka pula menakutkan saya dengan saiz tubuhnya yang besar itu, tetapi apabila keadaanya jadi sebegini membuatkan kelakuan beliau dahulu kini menjadi 'perlahan'. Tiada lagi kekekokan hubungan antara kami akibat perbuatannya yang lampau. Kini terpancar kemesraan sesama kami.

Saya panjatkan kesyukuran kepada-Nya dengan apa yang terjadi. Mungkin inilah sebahagian hikmahnya.

Saya juga cuba untuk seredha yang mungkin untuk apa yang bakal diuji-Nya.

11 comments:

sani tensai said...

semoga Pak Lang awak cepat sembuh ya...
kat kampung, Mak Lang saya yg sakit kencing manis...tapi dah ok dah...haritu msuk wad gak...huhu

Nasa'i Asa said...

terima kasih sani. semoga mak lang awk juga terus sihat

budak comel said...

sdhnye.....

una husna said...

salam nasae,
lama tak drop comment kat entri ko.
aku agak busy lately, but still membaca tulisan-tulisan para blogger. huhu~

semoga PakLang ko cepat sihat ye, ameen.

betul apa yang ko cakap tu, semua benda ada hikmahnye, ingat yang sakit tu adalah ujian, dan ujian tu sebenarnye nikmat, kalau kita tak diuji pasti kita tak belajar, macam sekarang ko belajar yang semuanya ada hikmah, jadi kena redha dengan ujian yang diberiNya.

huhu.tengok sekali komen terus nak panjang lebar

Nasa'i Asa said...

dak comel: terima kasih juga ats si simpati awk

husna: wa'alaikumsalam una.
haah, lama da kau tak drop comment kat sini. terima kasih untuk koemn yang agak panjang itu. aku da biasa da sebab memang bagus2 komen kau

una husna said...

aishh tak bagus mana pun komen aku. sekadar memberi tahu apa yang perlu je. hehehe~

hope ko sehat sehat ye. terkejut jugak baca pasal kes ko masuk hospital time kecik tu. dahsyat jugak ye.

Nasa'i Asa said...

insyaallah. biasalah, nakal sangat dulu, susah Umi ngan Ayah nak membela. bila da kene macam tu, baru terasa makna sebenar 'Ingatlah yang tersayang'. dulu buat ni bahan lawak, sekarang jadi guru liku2 kehidupan pula.

A r t p h i t y s i c said...

fuh.......... bagus la!!!!

Nasa'i Asa said...

terima kasih. ini ali ke atau amat

A r t p h i t y s i c said...

hehehe.. ni ali imran.. teman bermain ping-pong... hahaha

Nasa'i Asa said...

ali, musuh tradisi ping-pong. lama tak dengar sal kau eh. nmpk selalu online, tapi blm pernah kite berbual panjang lagi kan. kalau ada kelapangan contactla aku

 
Minima Glass Blogger Template by Competitions World | Originally Minima Template by Douglas Bowman