Sunday, November 1, 2009

Sememangnya Saya Tahu, Tapi...

Ouch, panasnya! Umi tersenyum melihat anak lelaki ini mengomel daripada tadi. Baru diminta tolong memasak sudah banyak merungut.

"Ha, itu baru minyak panas kau kena. Kalau kat akhirat nanti panas yang kau rasa itu lagi berganda-ganda," kata Umi.

Ungkapan kata yang membuatkan saya diam. Memang tak asing lagi untuk didengari. Bahkan daripada kecil lagi kita sudah mendengarnya. Cuma ia bergantung pada sensitiviti setiap individu dalam menerimanya, sama ada kata-kata tersebut mampu menyentuh hati atau sekadar menggetarkan tulang-tulang di telinga sahaja.

Tanpa banyak cakap lagi saya terus siapkan kerja-kerja menggoreng walaupun entah berapa kali tangan terpercik lagi dengan minyak panas. Setiap kali terkena ada 1 perasaan yang menyelinap di fikiran saya.

Kesedaran! Kesedaran yang mendatangkan keinsafan.

Lantas fikiran saya terus melayang. Otak cuba laksanakan fungsi flashbacknya di mana mengingatkan saya segala silap dan salah yang saya lakukan sebelum ini sama ada disengajakan atau tidak.

Sedangkan ketika itu saya tahu saya zalimi diri sendiri. Tahu adalah salah menggunakan kurniaan Allah bukan untuk yang sepatutnya, tahu setiap baik dan buruk yang kita lakukan ada ganjaran dan habuannya. Apabila baru dirasakan sedikit sahaja 'bunga-bunga' kepanasan api neraka barulah hadirnya perasaan keinsafan tersebut.

Tahu-tahu pun berdosanya melakukan apa yang ditegah-Nya dan meninggakan apa yang disuruh-Nya serta adanya azab yang maha pedih menanti di akhirat, mengapa saya masih lagi melakukannya? Hairan!
Lamunan saya terhenti. Bukan malas memikirkan jawapan-jawapannya, tetapi buntu memikirkannya. Saya berfikir sejenak dan menyoal diri mencari jawapannya.


NAK KATA TAK TAHU, TAK MUNGKINLAH

"Ehem..ehem!! Assalamu'alaikum!"

Bagaikan gugur jantung dibuatnya apabila disapa dengan salam secara tiba-tiba. Masing-masing terkejut dan terus duduk berjauhan sambil sibuk mengemaskan diri. Yang perempuan pula mula membetulkan tudung.

Salam yang diberi tak berjawab lagi.

"Dah kahwin ke? Dah lama kamu buat kerja ni?"

Pasangan tersebut hanya mampu tunduk membisu. Mulut bagaikan terkunci dan seolah-olah seperti pesalah menanti hukuman yang bakal dilaksanakan sebentar lagi. Ketika itu mulalah terbayang aib yang bakal menimpa keluarga mereka nanti serta tersedar akan perasaan malu yang akan mereka bawa sepanjang hidup mereka bersama dan persepsi orang sekeliling terhadap mereka.

"Saya tanya lagi ni, dah lama ke kamu buat kerja ni?" kali ini dengan nada yang lebih tinggi.

Lamunan terhenti.

"Ampunkan kami tuan..ampunkan kami. Kami bersalah, jangan bawa cerita ini kepada keluarga kami. Cerita ni mati di sini sajalah tuan, kami tak nak keluarga kami malu," rayu lelaki tersebut.

Yang perempuan pula sudah basah-basah tudungnya dek air mata yang kian mengalir laju.

Mati serta-merta nafsu berahi tadi. Hilang semua kata-kata manis yang baru diungkapkan. Kini yang ada hanyalah kekesalan yang mampu memadamkan dendam api asmara. Ajaib!

Nak kata tak ada pengetahuan agama boleh pula yang perempuannya memakai tudung. Sewaktu zaman persekolahan pun bukannya tak diajar perkara-perkara sebegini. Malah jika ditanya kepada mereka yang beraliran akademik, insya-Allah masih tahu lagi soal halal haram dan dosa pahala. Inikan pula mereka yang beraliran agama.

Yang menjadi tanda tanya adalah ada juga mereka yang beraliran agama turut sama menyumbang kepada permasalahan ini. Hairan, mana pula mereka letakkan agama semasa berkelakuan tersebut?

Tahu-tahu pun haramnya zina dan sebat sebagai habuannya dalam undang-undang Islam serta adanya azab yang maha pedih menanti di akhirat, mengapa masih lakukan juga? Mari berfikir sejenak dan menyoal diri mencari jawapannya.

SEMAKIN MENCARI SEMAKIN BINGUNG!

Saya pun mencari-cari suatu ketika dulu. Selalu memikirkan bagaimana untuk menghindarkan diri daripada terus melakukan perkara keji dan mungkar. Bukanlah niat saya untuk menjadi semaksum Nabi tetapi sebagai usaha untuk membaiki diri yang selalu alpa dan memang tak lepas daripada melakukan dosa.

Akhirnya saya temui jawapannya, kesempurnaan solat. Ini janji Allah dalam Al-Quran. Mahukan solat yang sempurna bukanlah pada 'ketika' melakukannya, tetapi 'sebelum' ia dilaksanakan lagi. Ia bermula daripada penjagaan waktu sehinggalah selesainya solat, itu semua perlu dijaga.


Walaubagaimanapun ada suatu ketika terasa saban hari makin sukar untuk mengistiqamahkannya. Apabila diuji dengan sedikit kesenangan apatah lagi dengan kesusahan kesempurnaan solat mula goyah, kekadang baik kekadang lalai. Lebih teruk lagi ada yang sampai hanyut sepanjang solatnya. Zahirnya solat tetapi hati dan fikiran entah ke mana. Akhirnya perlahan-lahan solat makin biasa dilewatkan dan mula ditinggalkan. Kalau masih bersolat pun kerana malu diperkatakan orang apabila meninggalkannya.

Jadi bagaimana orang yang bersolat tetapi solatnya lalai hendak dijadikan sebagai benteng diri? Seperti ada 'sesuatu' yang perlu dihadirkan sebelum mencapai kesempurnaan solat dan menjadikan solatnya bertindak sebagai pencegah keduanya.

Tahu-tahu pun kesempurnaan solat adalah pencegah diri daripada perkara keji dan mungkar, tak pula kita mahu ambil langkah ini sebagai solusi. Jangan kerana kita sudah selesa berada dalam zon sebegitu membuatkan kita senang melakukan keduanya (perkara keji dan mungkar), na'uzubillah. Jadi mari berfikir sejenak dan menyoal diri mencari jawapannya.

ADAKAH JAWAPANNYA...

Saya percaya hampir semua orang bermentaliti bahawa pembunuh, peminum arak, perogol dan apa jua salah laku yang dilakukan adalah petanda yang menunjukkan mereka membenci Allah dan Rasul-Nya berdasarkan salah laku yang mereka lakukan. Tapi kita tak sedar bahawa kita juga melakukan tegahan Allah dan meninggalkan suruhan-Nya sama seperti yang mereka lakukan. Jadi apa yang membuatkan kita rasa berbeza dengan mereka? Walhal pointnya sama, kita melanggar perintah Allah dan meninggalkan suruhannya.

Bukan semua pelaku maksiat itu membenci Allah dan Rasul-Nya. Mereka tahu maksiat adalah dosa dan adanya balasan di akhirat nanti. Itu adalah kerana kelemahan dirinya.

Tak semestinya pelaku maksiat membenci Islam. Berapa ramai insan yang kita nampak peribadinya lemah tetapi hatinya masih sayangkan Allah dan Rasul-Nya, sayangkan Islam dan marah apabila Islam dan kaum muslimin dihina dan dianiayai.

Mungkin ada antara kita yang belum ambil kisah sangat dosa pahala. Tahu dunia hanyalah persinggahan sementara dan selepas itu muncul pula hari pembalasan di mana segala amalan kita sama ada baik dan buruk walaupun sebesar zarah ada ganjaran dan habuannya.

Walaubagaimanapun kita cuma sekadar tahu sajalah.

Kadang-kadang saya ada menerima SMS seperti berita akhir zaman yang saya dapat daripada rakan-rakan, begitu juga rakan-rakan saya yang lain. Yang menariknya kononnya akan ada balasan buruk yang menimpa kepada si penerima sekiranya tidak mengfowardkan mesej tersebut ataupun tak beramal pada isi kandungannya.

Tiba-tiba kita takut dan bimbang serta sibuk mengfowardkan mesej tersebut apabila membayangkan padah yang menanti. Bila mana kita sangkakan itu khabar mesej itu benar, pada masa itu kita pun sekadar tahu saja. Tiada taubat pun kita buat atau memeperap di rumah dan berada di atas sejadah untuk beribadah sebanyak-banyaknya bagi menyahut berita tersebut.

Bayangkanlah suatu hari nanti kata-kata seumpama ini menerjah hidup kita

"Analisis kami menunjukkan awak cuma ada 3 bulan saja lagi untuk hidup"

"Mahkamah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati"

"Kami belum temui lagi penawar untuk penyakit awak, harap awak bersabar"

Apabila dirasakan hidupnya berbaki beberapa bulan lagi, barulah dia sedar perlunya bekalan-bekalan untuk dibawa ke akhirat nanti. Lalu dia kembali bertaubat, belajar agama dan memperbanyakkan ibadah.

Bukankah tindakan sebegini membuktikan sebelum itu dia tahu membebezakan antara salah dan betul, dosa dan pahala serta adanya balasan baik dan buruk. Tetapi kenapa pula dia tak kisah sebelum itu? Adakah kerana apabila diberi rasa sedikit azab di dunia membuatkan dia sedar dan kembali bertaubat?
"Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit dari azab dunia sebelum azab yang besar (di akhirat kelak), mudah-mudahan mereka itu kembali (bertaubat)."

(terjemahan As-Sajadah: 21)

Inilah yang dikatakan tahu tapi tak sedar. Apa beza antara tahu dan sedar? Tahu itu hanya di kepala (pemikiran) tetapi sedar itu di hati (penghayatan). Betullah apa yang dinyatakan di dalam Al-Quran.
“Sekali-kali tidak! Sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup qalbu mereka."
(terjemahan Al-Muthaffifin: 14)

Itulah hakikatnya. Ramai antara kita tahu perbuatan itu mendatangkan dosa dan adanya azab yang maha pedih menanti di akhirat. Oleh sebab jarang atau belum pernah merasai api dunia dan tak menghayati kepanasannya adalah terlalulah jauh jikalau nak dibandingkan dengan api neraka, maka tidak timbulnya kesedaran lalu terus bergelumangan dengannya.

Perlukah kita disedarkan sehingga sampai di tahap perlunya dirasakan api dunia setiap masa bagi mengingati kepanasan api neraka untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan salah laku kita terhadap Allah? Saya pun tak sanggup.
Ibnu Jarir, An-Nasa’i, Ibnu Majah dan At-Tirmidzi meriwayatkan dari Abu Hurairah, dari Nabi sallahu'alaihiwasallam, di mana baginda bersabda:
“Sesungguhnya jika seorang hamba melakukan suatu dosa, maka akan muncul dalam qalbunya satu noda hitam. Jika dia bertaubat daripada perbuatan tersebut, maka qalbunya akan menjadi jernih tetapi jika dia menambah perbuatan itu, maka akan bertambah pula noda itu.”

Jadi, marilah kita peruntukkan sedikit masa untuk bermuhasabah diri dan berfikir secara sedar lagi berlapang dada segala baik buruk perbuatan yang kita lakukan. Jangan pandang remeh bila mana sebut sahaja 'muhasabah'. Hal ini kerana berfikir atau pun bermuhasabah walaupun sebentar teramatlah besar faedahnya di masa akan datang. Bukanlah peribahasa ini sepatutnya dijadikan resmi hidup kita.

"Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tak berguna lagi"

"Nasi sudah menjadi bubur"


3 comments:

Tendou Sani said...

beringat, berusaha, berubah, membaik pulih...
tazkirah yg baik...
Yup...jaga solat, terjagalah diri dari maksiat...
huhuhu...

Nasa'i Asa said...

terima kasih atas komen tu sani. kalau kau ada cadangan elok sangat kongsi kan dengan aku.

saya said...

hmm...berubahla..

 
Minima Glass Blogger Template by Competitions World | Originally Minima Template by Douglas Bowman